.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, August 04, 2010

0 Bekas ADUN Selangor dan seorang janda dengan tiga butir peluru di kepala

Maut dengan kesan tembakan

Oleh ANGELINA SINYANG
jenayah@utusan.com.my



Jenazah mangsa kes tembak di susur keluar Sungai Buloh dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat, semalam.




KUALA LUMPUR 3 Ogos - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Permatang, Selangor, Datuk Abdul Aziz Mohd. Noh, 64, dan bekas pembantu peribadinya, Siti Rohana Ismat, 43, ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala masing-masing dalam sebuah kereta yang terbabas di Kilometer 455.7, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur keluar Sungai Buloh dekat sini hari ini.

Abdul Aziz adalah ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Tanjung Karang manakala Siti Rohana merupakan Naib Ketua Wanita UMNO bahagian itu.

Kedua-dua mayat mangsa ditemui di dalam kereta jenis Toyota Caldina yang terbabas di pembahagi lebuh raya berkenaan pada pukul 11 pagi.

Ketika kejadian, kedua-dua mereka dipercayai dalam perjalanan dari pejabat Abdul Aziz di Petaling Jaya menuju ke Tanjung Karang untuk menghadiri mesyuarat.

Polis turut menemui sepucuk pistol jenis Revolver .38, dua butir peluru belum digunakan dan tiga kelongsong peluru dalam kereta berkenaan.

Senjata yang ditemui itu disahkan milik Abdul Aziz manakala kereta Toyota Caldina tersebut pula kepunyaan Siti Rohana namun dipandu oleh Abdul Aziz semasa kejadian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, siasatan awal polis pada mayat kedua-dua mangsa mendapati terdapat kesan tembakan di kepala mereka.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati tembakan tersebut dilepaskan dari bahagian dalam kenderaan dinaiki mangsa.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan tetapi polis tidak menolak kemungkinan ia adalah satu kes bunuh dan bunuh diri.

"Laporan bedah siasat awal mendapati terdapat satu kesan peluru di kepala Abdul Aziz manakala dua kesan peluru dikesan di kepala Siti Rohana," katanya dipetik dalam laman sosial Facebook di sini hari ini.

Khalid turut meminta orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai kes terbabit memandangkan beberapa saksi di tempat kejadian mengesahkan tidak melihat individu lain dalam kereta berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sungai Buloh memberitahu, beberapa saksi di tempat kejadian memberitahu melihat kereta dinaiki Abdul Aziz dan Siti Rohana terbabas dari kanan ke kiri sebelum melanggar besi pembahagi di tengah lebuh raya.

Dalam pada itu, bilik mayat Hospital Sungai Buloh di sini menjadi tumpuan anggota keluarga Abdul Aziz, ahli-ahli UMNO serta rakan-rakan Allahyarham yang masing-masing terkejut menerima berita kematian bekas wakil rakyat tersebut.

Antara yang hadir ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Mayat kedua-dua mangsa yang selesai dibedah siasat sudah dituntut oleh keluarga masing-masing untuk dikebumikan petang ini.

Jenazah Abdul Aziz dikebumikan di Shah Alam manakala Siti Rohana di Batu 6 1/2, Kampung Sungai Gulang-Gulang, Tanjung Karang.

Abdul Aziz meninggalkan isteri, Datin Siti Fatimah Md. Noor, 62, dan tiga anak iaitu pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Norazila, 40; pensyarah Universiti Selangor (Unisel), Norazian, 37; Mohd. Anis Hisham, 33, yang juga Exco Pemuda UMNO serta empat orang cucu berusia antara 5 hingga 10 tahun.

Abdul Aziz berkhidmat sebagai ADUN Permatang selama sepenggal mulai 2004 sehingga 2008 setelah menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Samry Masri dengan majoriti 4,285 undi.

Bagaimanapun, pada pilihan raya umum lalu, beliau memberikan laluan kepada Sulaiman Abd. Razak daripada UMNO.

Sebelum dilantik sebagai ADUN Permatang, Abdul Aziz pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar kepada Tan Sri Abu Hassan Omar semasa beliau menjadi Menteri Besar Selangor serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.


Artikel berkaitan:

Kematian misteri
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2010/08/04


ABDUL AZIZ dan Siti Rohana ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala dalam kereta yang terbabas di Lebuh Raya Utara-Selatan, semalam.Bekas ADUN, pembantu ditemui mati dengan tembakan di kepala di lebuh raya

SUNGAI BULOH: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Kuala Selangor, Datuk Abdul Aziz Mohd Noor dan Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjung Karang, Siti Rohana Ismat, ditemui mati dalam keadaan misteri dengan kesan tembakan di kepala, semalam. Dalam kejadian jam 11 pagi itu, Abdul Aziz, 64, dijumpai terkulai di tempat duduk pemandu kereta yang terbabas di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini, manakala Siti Rohana, 43, dalam keadaan terduduk di sebelahnya. Dua tembakan dikesan di sebelah kanan kepala Siti Rohana, manakala satu tembakan pula di kanan kepala Abdul Aziz.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata polis masih menyiasat motif kejadian itu, tetapi tidak menolak kemungkinan seorang daripada mereka menembak pasangannya sebelum menembak diri sendiri.

Beliau berkata, polis menemui sepucuk pistol revolver .38 dengan masih berisi dua peluru, kepunyaan Abdul Aziz, di celah tempat duduk bahagian depan Toyota Caldina yang dipandu bekas ADUN itu.

“Mengikut beberapa saksi, kenderaan itu yang dalam perjalanan menghala ke Utara, hanya dinaiki kedua-dua mangsa dan terbabas ke lorong kanan sebelum merempuh penghadang lebuh raya di sebelah kiri,” katanya ketika dihubungi.
Khalid berkata, pemeriksaan mendapati tembakan itu dilepaskan dari dalam kereta kerana tiada kesan kenderaan itu ditembak dari luar, sebaliknya hanya remuk di bahagian depan akibat merempuh penghadang lebuh raya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat.

Jenazah Abdul Aziz dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam manakala jenazah Siti Rohana di Tanah Perkuburan Batu 7 1/2 Sungai Gulang-Gulang Tanjung Karang.

Abdul Aziz meninggalkan isteri, Siti Fatimah Mohd Noor, 62, serta dua anak perempuan, Norazilah, 40, dan Norazian, 37, kedua-duanya pensyarah universiti, serta seorang anak lelaki, Mohd Anis Hisham, 33, yang juga Exco Pemuda Umno Malaysia.

Abdul Aziz yang juga Bendahari Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) Selangor, menjadi wakil rakyat dari 2004 hingga 2008 dan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar pada 1997.
Siti Rohana pula adalah bekas pembantu peribadi Abdul Aziz dan sudah bercerai dengan suaminya, Abdul Aziz Hamim, 43, empat tahun lalu. Pasangan itu dikurniakan tiga anak - Izati Natasha, 20, Iliani Nazira, 14 dan Mohd Izat Emir, 9, yang tinggal bersama Siti Rohana di Tanjung Karang.

Bekas suami Siti Rohana ketika ditemui di HSB, bagaimanapun berkata beliau tidak tahu sejauh mana hubungan bekas isterinya dengan Datuk Abdul Aziz kerana sudah lama tidak berhubung.

Sementara itu, Mohd Anis berkata, kali terakhir beliau bertemu dengan ayahnya, kira-kira jam 9 pagi di kediamannya di Shah Alam.

“Bapa memandu sendiri kenderaannya ke pejabat di Petaling dan mungkin meletakkan kenderaannya di pejabat sebelum menumpang Siti Rohana untuk menghadiri program di Tanjung Karang.

“Bapa tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik, cuma bapa menjadi rapat dengan saya sejak beberapa hari lalu. Bapa seorang yang baik dan tidak mempunyai musuh,” katanya.

0 comments: