.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, July 10, 2010

0 Remaja lari dari rumah? Salah sendiri? Salah Ibu-bapa? Salah agama? Salah syaitan? Salah iblis? Salah barat? Salah zionis? Salah freemason? Antiagama?

Lima kategori lari dari rumah untuk mencari kebebasan luar


2010/07/10
MASALAH pelajar lari dari rumah sebenarnya bukan hanya membabitkan kes tidak pulang sehingga beberapa hari atau berminggu-minggu, malah ia sebenarnya turut merangkumi kes remaja dikesan 'lari beberapa jam' semata-mata kerana mahu mencari kebebasan di luar.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din, berkata isu remaja dan pelajar lari rumah pada masa ini boleh dipecahkan kepada lima kategori dengan semuanya berpunca daripada pelbagai faktor di rumah termasuk kurang perhatian ibu bapa. Katanya, kategori pertama adalah pelajar yang keluar rumah selepas sesi persekolahan dengan tujuan melepak bersama rakan sebaya di kompleks beli-belah atau kedai kopi kerana tidak selesa tinggal di rumah dan mereka ini hanya pulang menjelang lewat petang setiap hari. Kategori kedua pula, katanya, pelajar yang sengaja keluar rumah beberapa hari dengan memberi alasan kepada ibu bapa kononnya ada aktiviti tertentu seperti menyiapkan tugasan sekolah tanpa memberitahu dengan tepat ke mana mereka pergi.

“Manakala kategori ketiga yang juga boleh dikategorikan lari rumah ialah keluar mengikut orang dikenali seperti kakak atau abang angkat dan sepupu dengan menggunakan alasan sebagai ‘lesen’ untuk tidak pulang selama beberapa hari atau beberapa minggu.

“Kategori keempat ialah remaja lari rumah tanpa diketahui puncanya. Mereka ini biasanya mahukan kebebasan dan hanya pulang ke rumah selepas tempat yang dituju sebenarnya lebih teruk berbanding di rumah terutama menjadi mangsa dera atau dijadikan mangsa seks,” katanya kepada Berita Harian.

Dr Mohd Fadzil berkata, kategori kelima membabitkan kes lebih tegar iaitu remaja terbabit boleh disifatkan sebagai pelari tegar yang lari kerana inginkan kebebasan atau mengikut rakan sebaya dan tidak mahu langsung pulang ke pangkuan keluarga.
“Dalam kajian yang dijalankan ISM di rumah kebajikan dan perlindungan di ibu negara, kebanyakan remaja yang ditemui mengaku lari rumah antara tiga hingga empat kali, malah ada juga yang lari sampai tujuh kali dengan 70 peratus menjalankan aktiviti lepak dan berjalan-jalan tanpa tujuan di samping 10 peratus pula mengaku menghidu gam,” katanya.

Sementara itu, kajian Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menunjukkan hampir 10 peratus ibu bapa tidak berperanan sebagai pemimpin untuk membimbing dan mencorak anak-anak ke arah kebaikan menyebabkan kes lari rumah meningkat dan berada pada tahap membimbangkan.

Presidennya, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata kebanyakan alasan yang diberikan bapa adalah kesibukan di tempat kerja menyebabkan mereka tiada masa menghabiskan masa bersama anak-anak dan sebaliknya menyerahkan tugas itu kepada pembantu rumah atau isteri yang tidak bekerja.

Katanya, kajian juga menunjukkan ibu bapa di negara ini berkomunikasi dengan anak-anak kurang 30 minit setiap hari menyebabkan jurang antara anak dan ibu bapa terlalu luas mengakibatkan mereka lebih selesa mencari rakan di luar untuk meluahkan perasaan.

"PIBGN mengakui masalah ini berada pada tahap membimbangkan. Namun, perlu diingat punca utama anak-anak lari rumah kerana kurang perhatian dan kasih sayang ibu bapa dan mereka lebih selesa mencari rakan sebaya di luar untuk berhibur.

"Jika kasih sayang dan perhatian mencukupi mampu diperoleh di rumah, pastinya gejala lari rumah tidak berlaku kerana kasih sayang antara ibu bapa dan anak terlalu erat," katanya.


Artikel berkaitan:

Laporan Khas: 'Kenangan paling buruk dalam hidup'
Oleh Nor Fazlina Abd Rahim dan Wan Faizal Ismayatim

2010/07/10
Pergaulan bebas bersama rakan, inginkan keseronokan menjadi punca pelajar bertindak berani meninggalkan keluarga

PASIR MAS: "Saya sudah insaf dan tekad untuk berubah menjadi seorang anak yang baik... kejadian lalu adalah kenangan paling buruk dalam hidup saya," luah seorang pelajar yang mahu dikenali sebagai Diana, 17, yang mengaku tiga kali lari dari rumah sejak dua tahun lalu. Dia sedar tindakannya selama ini memalukan air muka keluarganya. Namun perkara itu sudah berlalu dan masa tidak mampu diputar kembali kepada asal dan akan menjadikan pengajaran kepada kehidupan lebih baik. Mengimbas kembali tindakannya lari rumah sebelum ini termasuk kali terakhir pada Februari lalu, Diana berkata, pergaulan bebas bersama rakan dan inginkan keseronokan menjadi punca dia bertindak berani meninggalkan keluarga.

Malah, dia juga sanggup meninggalkan sekolah tanpa memaklumkan kepada sesiapa dan mengikut rakan lelaki ke ibu negara dan Johor semata-mata ingin mengenali dunia luar dan merasai keseronokan.

"Setiap kali lari rumah, paling lama seminggu sebelum saya pulang tanpa rasa bersalah. Ketika itu, tidak berfikir langsung kesan buruk hingga sanggup bermalam dengan rakan lelaki, perasaan ibu bapa juga tidak pernah terlintas di fikiran.

"Apa yang saya tahu, ingin mencari keseronokan bersama rakan tanpa dibelenggu bebanan kerja sekolah. Saya tahu setiap kali melakukan perbuatan itu, keluarga bimbang dan sibuk mencari termasuk merayu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) meminta saya pulang, namun tidak diendahkan.
"Selepas menikmati keseronokan, saya pulang tanpa rasa takut dan bersalah, sebaliknya hanya memberitahu keluarga mengikut rakan berkhemah bagi mencari ketenangan," katanya ketika ditemui Berita Harian.

Diana berkata, lima bulan lalu dia melarikan diri ke Johor selama empat hari selepas menerima ajakan rakan lelaki.

"Akibat perbuatan kali ketiga itu, ibu saya jatuh sakit kerana bimbang keselamatan saya sehingga tidak sedarkan diri. Namun, adik-beradik lain tidak memaklumkan keadaan ibu kerana telefon bimbit saya dimatikan dengan alasan tidak mahu diganggu.

"Lebih menyedihkan, ibu yang semakin tenat menghembuskan nafas terakhir jam 5.30 pagi pada 20 Februari lalu tanpa kehadiran saya di sisi," katanya tersekat-sekat menahan sebak.

Katanya, ketika pulang ke rumah dari Johor itu, dia terkejut apabila melihat ramai orang di rumahnya seolah-olah ada kenduri.

"Ketika itu, adik saya memberitahu ibu sudah meninggal dunia dan sempat menyebut nama saya sebelum menghembuskan nafas terakhir. Pada waktu itu, dada saya bagaikan dihempap batu dan dunia menjadi gelap.

"Sejak itu, saya mula berubah... saya insaf, tetapi terpaksa menerima hakikat tidak sempat memohon maaf kepada ibu,” katanya.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Empat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Lipis, Pahang, yang dilaporkan hilang selama seminggu akhir Mei lalu, mendakwa mengalami tekanan perasaan akibat perceraian ibu bapanya akhir tahun lalu.

Muhamad Shafrie Shahiran berkata, kehidupannya tertekan sebaik ibu bapanya berpisah dan tidak tinggal sebumbung menyebabkannya nekad melarikan diri ke Kuala Lumpur untuk menumpang rumah rakan.

“Jika sebelum ini, ibu menjadi tempat mengadu masalah, tetapi kini dia sudah tinggal di Kuala Lumpur dan saya pula bersama bapa di Pahang. Berpunca tekanan perasaan itu menyebabkan saya tekad melarikan diri tanpa memikirkan ibu bapa yang bimbang terhadap keselamatan saya,” katanya.

Katanya, selepas seminggu menghilangkan diri, dia melihat gambar ibunya di sebuah akhbar yang menjejaki kehilangannya menyebabkan dia menjadi sayu dan ambil keputusan pulang.

"Selepas pulang, saya memohon maaf kepada keluarga terutama ibu dan ayah dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan yang boleh menyusahkan semua orang," katanya.

0 comments: