.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Friday, July 30, 2010

0 Perkahwinan bukan seperti cerita cinderella

Sumber:
http://www.rehal-centre.com/index.php?option=com_content&view=article&id=55:perkahwinan-ala-laila-majnun-tidak-relevan&catid=36:keluarga&Itemid=11


Perkahwinan ala Laila Majnun tidak relevan

Hari jumaat yang lalu, saya ada terbaca satu artikel menarik mengenai isu ini di Berita Harian online yang saya rasakan patut dikongsi bersama di ruangan ini meskipun ia tiada kaitan dengan pendidikan anak-anak. Selamat membaca

Kajian 2006 menunjukkan ada paradigma baru di kalangan gadis dalam memilih pasangan hidup sesuai

WANITA sekarang semakin bersifat kebendaan. Mereka juga dikatakan malas berusaha untuk memiliki kesenangan hidup hanya kerana sanggup memilih lelaki berusia yang berharta sebagai pasangan hidup. Malah, ada yang menganggap perkahwinan tanpa berlandaskan cinta itu tidak akan kekal kerana hanya berdasarkan kebendaan dan bukannya cinta seperti yang sepatutnya apabila sesuatu pasangan itu mendirikan rumah tangga.

Persoalannya kini, mampukah perkahwinan yang berlandaskan cinta berkekalan hingga ke anak cucu? Berdasarkan senario hari ini, semakin ramai pasangan yang baru berkahwin akur dengan suratan takdir apabila perkahwinan yang dibina atas dasar suka sama suka itu berkecai di tengah jalan. Malah, ada usia perkahwinan yang baru mencecah lima bulan, tetapi sudah pun melafazkan talaq.

Pensyarah Psikologi di Kolej Universiti Help, Prof Datin Dr Noran Fauziah Yaakub, berkata perkahwinan ala Laila Majnun yang sanggup sehidup semati demi cinta tidak lagi relevan pada zaman ini berikutan kos sara hidup yang semakin tinggi, selain perubahan gaya hidup masyarakat yang lebih berpaksikan kebendaan.

Beliau berkata, perubahan itu secara tidak langsung membentuk satu pemikiran baru di kalangan wanita untuk memilih lelaki yang stabil sebagai teman hidup.

“Lazimnya, dalam keadaan hari ini cinta tidak boleh bertahan lama. Terlalu banyak dugaan yang terpaksa dilalui apabila mendirikan rumah tangga. Kita lihat hari ini apa saja yang kita lakukan memerlukan duit. Nak makan, duit. Berjalan sedikit pun guna duit. Apa tah pula membesarkan anak pada zaman moden ini memerlukan wang yang banyak.

“Jadi, pasti wanita hari ini terutama yang berpendidikan tinggi ingin mencari teman hidup yang mampu memberikan beliau kesenangan. Siapa yang hendak hidup susah hanya kerana cinta dengan lelaki yang tidak bekerja dan hidupnya tiada arah tujuan,” katanya ketika diminta mengulas laporan akhbar ini mengenai kecenderungan wanita memilih lelaki berusia yang berharta sebagai teman hidup (16 Februari 2007), baru-baru ini.

Kajian yang dijalankan terhadap 1,050 pelajar wanita IPT berusia antara 21 hingga 28 tahun itu mendapati 65 peratus memilih lelaki berharta pada peringkat usia 40 hingga 50 tahun sebagai teman hidup, manakala 12 peratus lagi menyatakan kesediaan mengahwini lelaki berharta pada peringkat usia 51 hingga 60 tahun.

Sejak kajian itu dilaporkan, pelbagai reaksi diberikan. Ada yang menganggap kajian berkenaan tidak relevan, tetapi ramai juga yang melihat dari sudut positif bahawa kajian berkenaan satu penanda aras perubahan dalam sosio budaya masyarakat. Ini jelas dilihat pada perubahan usia berkahwin di kalangan wanita yang secara tidak langsung mencerminkan perubahan struktur masyarakat.

Pada era sebelum negara merdeka, perkahwinan lazimnya membabitkan jodoh yang ditentukan ibu bapa. Ketika itu, usia berkahwin bagi wanita adalah seawal 13 tahun sebaik saja sudah mencapai akil baligh dengan teruna yang berumur lewat belasan tahun. Menerusi perkahwinan itu, kebiasaannya mereka mempunyai jumlah anak yang ramai, misalnya 10 orang.

Pasca merdeka, usia berkahwin bagi gadis menginjak kepada lewat belasan tahun, manakala lelaki pula berusia 20-an. Perkahwinan itu membawa kepada jumlah kelahiran yang semakin menurun iaitu dengan purata enam anak.

Bagaimanapun, pada 1980-an berlaku lagi perubahan pada struktur masyarakat apabila usia berkahwin bagi wanita ialah 20-an, manakala lelaki juga 20-an dengan perbezaan umur yang tidak begitu ketara. Perubahan itu disebabkan semakin ramai wanita yang melanjutkan pelajaran ke menara gading sehingga mereka menangguhkan perkahwinan.

Pada penghujung alaf lalu, berlaku satu lagi perubahan apabila semakin ramai wanita yang berkahwin pada usia lewat 20-an atau awal 30-an demi perkembangan kerjaya. Usia pasangan mereka juga menginjak kepada 30-an, sekali gus menyaksikan semakin ramai pasangan mempunyai anak pada usia yang agak lewat. Akibatnya, jumlah anak yang dimiliki sesebuah keluarga juga semakin mengecil iaitu antara dua atau empat anak.

Tetapi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagaikan satu aliran pula apabila semakin ramai gadis berusia 20-an mengahwini lelaki yang berusia lewat 30-an atau 40-an. Meskipun jarak umur yang begitu ketara sehingga ada suara sinis yang mengatakan bagai anak dan bapa, perkahwinan dua generasi itu sudah menjadi lumrah dalam masyarakat hari ini.

Sehubungan itu, Prof Noran berkata, jika kajian berkenaan diambil sebagai realiti kecenderungan wanita hari ini dalam memilih teman hidup, kita akan melihat satu perubahan struktur masyarakat yang baru.

“Kajian berkenaan menunjukkan apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini. Kita lihat di kebanyakan IPT sekarang, lebih ramai pelajar wanita berbanding lelaki, 60 peratus wanita berbanding 40 peratus lelaki. Jika wanita sudah berpendidikan tinggi, tentu mereka juga hendak mencari pasangan yang setaraf. Tetapi dengan ratio perbandingan pelajar itu tidak semua yang dapat mencari pasangan sebaya di kampus.

“Jadi, lazimnya mereka akan bertemu dengan lelaki di luar kampus iaitu apabila mereka bekerja. Ini secara tidak langsung menyebabkan mereka bertemu dengan lelaki yang berusia dan pada usia berkenaan, biasanya lelaki itu sudah mempunyai kedudukan yang kukuh,” katanya.

Lazimnya perkahwinan sebegitu menyebabkan bilangan anak turut berkurangan iaitu antara satu atau dua anak kerana suami yang sudah meningkat usia beranggapan sudah terlalu tua untuk menimang cahaya mata.

Bagaimanapun, beliau berkata, dari satu aspek mungkin kecenderungan wanita memilih lelaki berusia dan berharta itu disebabkan kelemahan lelaki sendiri. Sikap lelaki muda yang dikatakan panas baran dan tidak memahami berbanding lelaki berusia menyebabkan wanita mudah jatuh cinta kepada lelaki yang matang.

“Mungkin ramai yang mengatakan wanita memilih lelaki berusia ini hanya bermotifkan harta. Tetapi, kita perlu ingat lelaki berumur ini lazimnya banyak pengalaman, mereka lebih memahami dan romantis menyebabkan wanita mudah jatuh cinta walaupun hakikatnya lelaki itu bagaikan bapa.

“Lelaki muda pula mungkin tidak matang, malah peningkatan perceraian di kalangan pasangan yang baru berkahwin menyebabkan wanita hari ini merasa tidak selamat untuk bersama lelaki yang sebaya. Lagipun, secara fisiologi, fizikal mahupun psikologi, wanita tiga tahun lebih cepat berkembang berbanding lelaki. Maknanya wanita lebih matang daripada lelaki sebayanya,” katanya.

Dalam hubungan ini, beliau berkata, masyarakat tidak perlu cepat melatah apabila laporan sebegitu didedahkan kerana setiap universiti atau pensyarah lazimnya menjalankan pelbagai jenis kajian berdasarkan pengkhususan dan keperluan, bukan memilih sesuatu topik yang glamor semata-mata.

Pada masa sama, katanya, perkembangan terbaru itu harus dilihat sebagai cabaran bagi wanita yang sudah berusia. Laporan itu mungkin menggambarkan berlaku peningkatan kes poligami atau perceraian di kalangan pasangan sudah berusia berikutan si suami jatuh cinta dengan gadis yang lebih muda, tetapi wanita tidak harus berasa tergugat.

Apa yang penting, katanya, pastikan layanan terhadap suami tidak berbelah bagi kerana suami tidak mungkin terfikir untuk mencari yang lain jika sudah mempunyai rumah tangga yang stabil.

Pada masa sama, gadis muda pula janganlah hanya kerana ingin menikmati kemewahan segera sehingga sanggup meruntuhkan rumah tangga wanita lain. Bak kata orang, jangan mendirikan kebahagiaan di atas penderitaan wanita lain.

Alasan responden yang memilih lelaki berusia dan berharta sebagai pasangan hidup (65 peratus memilih lelaki pada peringkat usia 40-50 tahun, manakala 12 peratus memilih lelaki peringkat usia 51-60 tahun)



Masa depan dan kerjaya wanita tidak dapat dijangkakan.

Perlukan keselamatan dan jaminan masa depan.

Tidak perlu bekerja keras.

Hidup tidak pernah susah.

Hidup susah dan ingin merasa kesenangan hidup.

Tidak yakin diri dan perlukan sokongan lelaki berusia dan berharta.

Cara hidup zaman moden yang tidak kisah mengenai pemilihan lelaki berusia asalkan berharta.

Tidak salah dalam pilihan itu asalkan bahagia.

Tekanan hidup dan desakan kewangan.

Membantu keluarga.

Dapat hidup mewah dan impian menjadi kenyataan.

Mencari kasih sayang sejati.

Sudah jodoh apa hendak dikata.

Cinta lelaki berusia meyakinkan, cinta lelaki muda menyakitkan.

Lelaki berusia matang dalam pemikiran dan komunikasi.

Bijak berkata-kata dan boleh menjadi pemimpin keluarga yang baik.

Romantik dan sensitif dengan perasaan wanita.

Sabar melayan kerenah wanita.

Tidak lokek berbelanja.

Suka berjenaka dan banyak cerita yang melucukan.

Komited terhadap pekerjaan dan masa depan.

Bertanggungjawab dan boleh dipercayai.

Wanita tidak perlu kerja keras mencari duit.

Hendak menunjuk bahawa mereka mampu menarik golongan kaya menjadi pasangan hidup.

Dapat menyertai golongan elit dan ada kelas tersendiri.

Hidup masa kini berfokuskan duit dan bukan semata-mata kasih sayang.

Cinta boleh dipupuk dalam perkahwinan.

Alasan responden yang tidak memilih lelaki berusia dan berharta sebagai pasangan hidup mereka (10 peratus responden menyatakan TIDAK bagi pemilihan lelaki berumur)


Jarak usia terlalu jauh akan menyusahkan diri sendiri.

Gaya hidup dan cita rasa berbeza.

Tidak selari dengan kehendak dan keperluan wanita muda.

Mudah cemburu dengan lelaki muda yang menjadi sahabat wanita muda.

Komunikasi berkesan tidak akan berlaku kerana jarak usia.

Tidak menghiburkan dari aspek sosialisasi.

Tidak membahagiakan.

Kehidupan dalam perkahwinan hanya rutin dan akan membosankan.

Tidak ceria dalam pergaulan dan dunia sosial.

Tidak meyakinkan sama ada lelaki itu akan setia pada wanita.

Pergaulan lelaki berkaitan luas dan membimbangkan.

Takut dipergunakan untuk tujuan perniagaan lelaki berkaitan.

Bimbang dengan pandangan masyarakat.

Malu untuk memperkenalkan suami pada kawan.

Tidak dapat menerima dan bergaul dengan golongan berusia.

Tidak memandang harta sebagai objektif utama dalam hidup.

Memilih hidup yang ceria, kreatif dan inovatif. Tetapi golongan lelaki berusia dan berharta itu tidak dapat memenuhi kehidupan seperti itu.

Nota: kajian dilakukan Dr Rusinah Siron dan Sabariah Siron (2006)

0 comments: