.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Thursday, July 01, 2010

0 Magika: Kisah Mawi dan Diana berjumpa Hang Tuah, Puteri Gunung Ledang, Mahsuri, Pak Pandir, Badang, Bawang Putih Bawang Merah. Great idea!

Magika ditayangkan September
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
2010/07/01


NORMAN bersama Zalman (tiga dari kanan), Edry, Yusry dan pelakon Magika pada sidang media sempena kerjasama KRU Studios dan Celcom di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.Norman yakin filem terbarunya tidak kecewakan penonton

PROMOSI filem Magika sudah mula digembar-gemburkan sejak awal tahun lagi. Malah, filem ini sudah pun dipertontonkan kepada media sekitar Mac lalu di pawagam kerana pada bulan yang sama, filem muzikal bercorak fantasi terbitan KRU Studios ini akan mula ditayangkan kepada khalayak. Namun entah di mana silapnya, filem yang membariskan ramai pelakon handalan dan popular ini nampaknya masih terperap dan tidak dapat ditayangkan mengikut jadual yang ditetapkan. Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim berkata, rancangan penayangan filem ini yang dijadualkan pada Mac lalu terpaksa ditangguhkan kerana masih menunggu jawapan daripada pihak penaja yang mahu bekerjasama dengan mereka.

“Memang pada awalnya kami memang merancang untuk menayangkan pada Mac lalu tetapi selepas mengadakan perbincangan dengan pihak Celcom, kami pun memilih tarikh 23 September depan untuk ditayangkan. Tarikh itu dipilih kerana bagi kami ia amat bersesuaian memandangkan ia masih lagi dalam suasana hari raya.

“Bagaimanapun kami akan menunggu keputusan yang diberikan Syarat Wajib Tayang berhubung tarikh baru penayangan filem ini, dan 23 September itu hanyalah pilihan kami saja,” katanya pada sidang media sempena pengumuman kerjasama KRU Studios dan Celcom di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama Naib Presiden Kanan Bahagian Pemasaran Celcom, Celcom Malaysia Berhad, Zalman Aefendy Zainal Abidin, pengarah filem Magika, Edry Abdul Halim serta sebahagian barisan pelakon ini iaitu Mawi, Diana Danielle dan adik Fimi Don.
Ditanya tidakkah KRU Studios risau sambutan terhadap filem ini akan menjadi dingin memandangkan tarikh tayangannya agak lewat berbanding promosi mengenainya dilakukan lebih awal, Norman yakin perkara itu tidak akan berlaku.

“Sebenarnya filem Magika ini memang memerlukan tempoh promosi yang lama iaitu sekurang-kurangnya setahun. Jadi saya percaya perkara itu akan memberi kelebihan kepada filem ini. Sebelum ini kita pernah membuat promosi dalam masa yang singkat iaitu selama tiga bulan untuk filem Jin Notti dan My Spy dan sambutannya juga tidak begitu menggalakkan.

“Seperti yang kita tegaskan, perkara ini kita sudah berbincang dengan Celcom dan mereka mempunyai pelbagai strategi promosi sehinggalah filem ini ditayangkan di pawagam. Lebih lama tempoh promosi, lebih besar impaknya terhadap filem ini,” katanya optimis.

Menurutnya, filem Magika juga mendapat banyak permintaan dari pelbagai pihak untuk mengadakan tayangan amal. Baginya perkara itu juga adalah satu promosi untuk filem itu.

“Kami juga akan mengadakan tayangan Diraja untuk negeri Perlis dan ia akan ditayangkan di Panggung Capitol. Ia juga adalah satu rangka promosi sebelum ia ditayangkan kepada umum,” katanya.

Termasuk Magika, bermakna sudah tiga filem KRU Studios ditaja oleh syarikat telekomunikasi gergasi ini. Dua filem sebelum ini adalah Cicakman 2 Planet Hitam dan My Spy.

“Kami mengalu-alukan kesudian Celcom untuk sekali lagi bekerjasama dengan KRU Studios. Dengan penajaan ini, kami berharap sedikit sebanyak dapat membantu dari segi soal promosi dan pengiklanan filem ini yang menelan belanja amat besar,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas pembabitan Celcom dalam filem ini, Zalman berkata konsep Magika yang berbeza membuatkan mereka tertarik untuk bekerjasama dengan mereka.

“Sebelum membuat keputusan, kami terlebih dulu menonton filem ini dan apa yang kami dapati, Magika memberi satu pendekatan baru kepada filem tempatan. Bukan saja saya menyukainya, malah semua kakitangan saya yang menonton filem ini juga menyukainya,” puji Zalman.

Selain pengumuman Celcom sebagai penaja, majlis petang itu turut menyaksikan album runut bunyi Magika dilancarkan. Tetamu yang hadir dihiburkan dengan nyanyian lagu Penyembuh Rindu oleh Diana dan Mawi selain tayangan trailer filem berkenaan.

Filem Magika, buah tangan pertama Edry ini mengisahkan dua beradik, Ayu dan Malik yang tersesat dalam dunia yang sungguh asing buat mereka. Di sana mereka bertemu dengan pelbagai karakter yang selama ini menjadi mitos dan kepercayaan masyarakat Melayu antaranya Pak Pandir, Badang, Nenek Kebayan, Puteri Gunung Ledang, Bawang Putih Bawang Merah, Orang Minyak, Hang Tuah lima bersaudara dan Mahsuri. Filem ini turut dijayakan oleh Ziana Zain, M.Nasir, Ning Baizura, Aznil Nawawi, Raja Azura, Sharifah Amani dan Adibah Noor.

0 comments: