.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, June 16, 2010

0 Sangat setuju dengan tulisan Dr Jeniri Amir berkenaan isu Malaysia, subsidi dan Greece

Ibrahim Ali tak wajar ‘serang’ Idris Jala
Oleh Dr Jeniri Amir



2010/06/16

Ahli Parlimen Gua Musang cetus kontroversi desak menteri tanpa portfolio undur daripada Kabinet

SAYA tidak pernah mengenali Datuk Ibrahim Ali, Ahli Parlimen Pasir Mas secara dekat. Saya hanya mengenali beliau melalui media. Sejak beberapa lama, nama Ibrahim sentiasa menggelegak di halaman media, termasuk di alam maya, lebih-lebih lagi sesudah menerajui Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA). Sebahagiannya lebih kerana komen dan kenyataan kontroversi beliau yang dianggap menentang arus. Terbaru, melalui ucapannya di Dewan Rakyat, Ibrahim mengeluarkan kenyataan yang tidak kurang kontroversi dan hangat apabila meminta Datuk Seri Idris Jala berundur sebagai menteri. Beliau meminta Perdana Menteri mempertimbangkan untuk menggugurkan anak Kelabit dari Sarawak itu daripada meneruskan tugasnya sebagai menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri, yang dipegangnya sejak Ogos tahun lalu.

Ibrahim berpendapat pencapaian Idris sebagai anggota Kabinet tidak seiring dengan pencapaiannya sebagai peneraju dalam sektor swasta. Kenyataan Ibrahim ketika mengulas Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) itu bukan saja mengejutkan, tetapi tidak masuk akal. Apakah tujuan Ibrahim yang bermulut celupar itu berbuat demikian? Adakah wajar Idris berundur semata-mata kerana membuat kenyataan yang disifatkan tidak patut?

Baru-baru ini, ketika membentangkan rancangan kerajaan untuk mengurangkan subsidi elektrik, gula, makanan, dan petrol, Idris mendakwa bahawa negara ini akan muflis seperti Greece menjelang 2019 jika langkah tidak diambil untuk memotong subsidi.

Pada tahun lalu, Idris berkata, Malaysia terpaksa membelanjakan RM74 bilion untuk tujuan subsidi. Sampai bilakah negara ini dapat terus bergantung pada subsidi? Dalam usaha untuk meyakinkan rakyat, kenyataan Idris disifatkan sesetengah pihak sebagai keterlaluan.
Ibrahim memang watak yang menarik. Laluan politiknya begitu berwarna-warni dan berliku-liku, tetapi beliau tetap terus bernafas dalam politik meskipun terpaksa berdepan pelbagai rintangan dan cabaran.

Menariknya watak Ibrahim terletak kepada cara beliau bercakap dan kenyataan yang dikeluarkannya. Ketika sebahagian besar pemimpin politik dilihat berhati-hati mengeluarkan kenyataan, lebih-lebih lagi yang sensitif dan dapat mencetuskan kontroversi, Ibrahim kelihatan tidak peduli, malah boleh dianggap lepas cakap.

Ibrahim tidak berpegang kepada peribahasa, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Sebaliknya, bagi beliau, perkatakan apa-apa yang patut diperkatakan, asalkan hati puas.

Hari ini, Ibrahim mempunyai bukan sedikit musuh meskipun tidak dinafikan beliau turut mempunyai penyokong yang sealiran pemikiran dengannya. Berdasarkan kenyataannya disiarkan dalam portal berita, begitu banyak komen negatif menyerang Ibrahim, sebahagiannya tidak layak pun disiarkan di halaman ini.

Tetapi kelihatannya, Ibrahim tidak mempedulikan semua itu, malah beliau kelihatan seronok apabila kenyataannya mendapat perhatian dan reaksi yang tidak kurang panas daripada pihak yang menjadi sasarannya.

Berbanding Ibrahim, saya mengenali Idris sejak kami sama-sama menuntut dalam Tingkatan Enam di Kolej Tun Datuk Tuanku Haji Bujang, Miri pada 1976 hinggalah kami sama-sama melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1978 biarpun dalam bidang berlainan.

Idris yang saya kenali adalah seorang pelajar pintar, malah menjadi ketua pengawas kami 34 tahun lalu. Beliau begitu gemar memetik gitar pada sebelah petang di bawah pokok di belakang asrama kami, dengan lagu popular Hotel California. Di USM, beliau bersama-sama dua lagi pelajar dari Sarawak meraih ijazah kelas kedua atas untuk program pengajian pembangunan yang diikutinya.

Ketika itu, tidak ada seorang pun yang mendapat ijazah kelas pertama. Tidak terlintas di fikiran pemegang ijazah Sarjana dari Warwick University, United Kingdom itu untuk menjadi Senator, apatah lagi menteri. Bukan beliau yang memohon jawatan itu, tetapi atas keyakinan dan kepercayaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana kemampuan, bakat dan potensi beliau.

Idris menjadi Pengarah Urusan dan CEO MAS pada Disember 2005, sesudah syarikat penerbangan itu mengalami kerugian paling besar dalam sejarah korporatnya. Sebelum menyertai Malaysia Airlines, Idris berkhidmat selama 23 tahun dengan Shell.

Antara 2002 dan 2005, Idris ialah Pengarah Urusan Shell MDS (Malaysia) dan Naib Presiden Shell Malaysia Gas & Power (Malaysia). Antara 2000 dan 2002, Idris adalah Naib Presiden Pemasaran Runcit, Shell International. Beliau juga naib presiden perundingan pembangunan perniagaan apabila menerajui pasukan atasan perunding dalaman mengenai projek penambahbaikan perniagaan radikal, memperbaharui model perniagaan runcit global Shell bagi mencapai pertumbuhan menguntungkan.

Antara 1998 dan 2000, Idris adalah Pengarah Urusan Shell Sri Lanka. Beliau membantu memulihkan perniagaan LPG Shell di Sri Lanka.

Idris tidak mempunyai kepentingan politik dan sentiasa berusaha untuk membantu kerajaan dan rakyat dengan melakukan sesuatu di luar kotak kebiasaan.
Jika kita masih ingat, ketika menerajui MAS, bukan tidak pernah pelbagai pihak mendesak supaya Idris berundur kerana dianggap mengambil tindakan yang merugikan MAS.

Tetapi ternyata kemudiannya, MAS meraih keuntungan AS$260 juta pada 2007 – rekod tertinggi pernah dicatatkan – ekoran pelan transformasi beliau. Justeru, wajarkah orang seperti Ibrahim yang belum lagi terbukti keupayaan dan kehebatannya, meminta supaya Idris berundur daripada Kabinet?

Penulis ialah pensyarah kanan di Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak

0 comments: