.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, June 16, 2010

0 Lagenda Budak Setan, RM3.5j? Hasil yang baik untuk idea yang baik

Lagenda Budak Setan Raih RM3.5 juta


2010/06/16 FILEM adaptasi novel, Lagenda Budak Setan yang memasuki pawagam sejak 3 Jun lalu mendapat maklum balas positif daripada penonton. Difahamkan, kutipan filem arahan Sharad Sharan itu sudah berjaya mencecah RM3.5 juta.

Usaha mengadaptasikan novel kepada filem sebenarnya sudah lama dilakukan oleh karyawan seni tempatan. Begitupun penerimaan penonton terhadap filem adaptasi novel di sini masih sukar diramal.

Sebelum ini, cerita novel karya Datuk A Samad Said, Langit Petang pernah dipindahkan ke filem pada 1982 yang diarahkan Shahrom Mohd Dom, diikuti novel Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad, Ranjau Sepanjang Jalan arahan Datuk Jamil Sulong. Novel popular Khadijah Hashim, Mira Edora juga pernah diadaptasikan ke filem pada 1990 arahan Zulkefli M Osman.

Selain itu U-Wei Saari pernah menghasilkan Jogho pada 1999 menerusi adaptasi novel Juara karya S Othman Kelantan. Kini, U-Wei sekali lagi sedang menyiapkan filem daripada novel Almayer's Folly menerusi Hanyut.

Walaupun Legenda Budak Setan terpaksa bersaing dengan filem lain termasuk Kecoh Betul menerusi tayangan serentak pada musim cuti persekolahan ini serta demam bola sepak piala dunia, sambutan begitu menggalakkan.

Filem genre drama dan cinta ini menampilkan nama besar yang pernah menggondol anugerah perfileman seperti Farid Kamil, Que Haidar dan Nur Fazura, Lisa Surihani selain bakat baru Shiqin Kamal.

Ikuti temubual wartawan Harian Metro, Wan Asrudi Wan Hasan (wanasr@hmetro.com.my), dengan Pengurus Besar Astro Shaw, Gayatri Su Lin Pillay, mengenai Lagenda Budak Setan.


RAP: Apakah perkembangan terbaru filem Lagenda Budak Setan?



GAYATRI: Saya dimaklumkan oleh kumpulan produksi kami, kutipan tiket Lagenda Budak Setan sudah mencecah RM3.5 juta sehingga semalam selepas 10 hari ditayangkan. Kami berharap jumlah berkenaan akan meningkat. Sambutan ini mungkin disebabkan penonton terdiri daripada pelbagai lapisan usia dan ramai yang pernah mengikuti novel Ahadiat Akashah.


RAP: Apakah reaksi pihak produksi dan barisan pelakon selepas melihat sambutan positif terhadap filem ini?

GAYATRI: Sudah tentu kami gembira dengan pencapaian ini. Sebelum ini sudah lama penonton pawagam tidak dihidangkan dengan tayangan genre seperti ini.


RAP: Difahamkan kutipan hari pertama bagi tayangan filem ini berjaya memecahkan rekod kutipan filem romantis dan cinta tempatan. Apa komen anda?

GAYATRI: Memang ia mencatat permulaan yang memberangsangkan. Bagi kami ini satu kejayaan yang merangsang minat kami untuk terus berkarya.


RAP: Adakah pemilihan pengarah Sharad Khan adalah langkah tepat memandangkan filem-filem arahannya sebelum ini gagal mendapat kutipan memberangsangkan?

GAYATRI: Setiap pengarah ada pendekatan yang berbeza dan memiliki kreativiti masing-masing. Pengalaman lalu mungkin mengajar Sharad untuk lebih prihatin dengan selera penonton. Sememangnya Sharad cukup berbakat dalam pengarahan filem. Sentuhannya dalam Lagenda Budak Setan lebih meninggalkan kesan.


RAP: Berdasarkan sambutan positif adakah anda berasakan tema seperti ini akan menjadi trend penggiat filem pada masa akan datang?

GAYATRI: Ini satu permulaan yang baik buat penggiat seni. Agak lama juga kita hendak melihat sambutan menggalakkan seperti ini terutama membabitkan filem adaptasi novel. Tidak mustahil perkara ini akan menjadi trend di kalangan penggiat filem selepas ini.


RAP: Perancangan untuk membawa filem ini ke peringkat antarabangsa ?

GAYATRI: Kami sudah menerima beberapa jemputan untuk menyertai festival filem di luar negara. Selain masih dalam perancangan untuk menayangkan filem atau menerbitkan Lagenda Budak Setan dalam bentuk Cakera Padat Video (VCD) atau DVD untuk dipasarkan di luar negara.


RAP: Apakah perancangan Astro Shaw selepas ini?

GAYATRI: Bagi meneruskan kesinambungan penerbitan filem yang diadaptasikan daripada novel pihak Astro Shaw kini dalam usaha memulakan penggambaran untuk filem terbaru yang dipetik daripada novel Ombak Rindu karya Fauziah Ashari. Ia akan diarahkan oleh Osman Ali. Penggambaran dijangka bermula Julai ini.

0 comments: