.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Thursday, June 10, 2010

0 Hayati semangat bola sepak untuk memajukan Malaysia

PM guna analogi pasukan bola jika Malaysia mahu maju
10/06/2010 3:08pm


KUALA LUMPUR 10 Jun – Merujuk semangat Piala Dunia yang akan bermula esok, Perdana Menteri berkata, kerajaan bolehlah mengiaskan kejayaan untuk merealisasikan sebuah negara Malaysia yang maju dengan rakyat berpendapatan tinggi kepada analogi sebuah pasukan bola yang berjaya.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bagi sebuah pasukan bola, untuk berjaya, kesemua pemain daripada pasukan tersebut tanpa mengira posisi, perlu bekerjasama serta bermain sebagai satu pasukan.

Jika tidak, mereka bukan sahaja tidak mungkin menang malahan boleh kalah teruk, jelas beliau.

Katanya, setiap pemain bermula daripada penjaga gol, pemain pertahanan, pemain tengah dan penyerang adalah sama pentingnya.

Bagaimana hebat pun pemain secara individu namun mereka hanya akan menggondol kemenangan sebenar secara berpasukan, katanya lagi.

“Oleh itu, setiap aset pasukan adalah berharga dan perlu dioptimumkan potensinya bagi mencapai kejayaan.

“Jika sekalipun setiap pemain adalah sebaik Rooney, Messi atau Ronaldo yang umum mengetahui sebagai antara penyerang terulung dunia, akan tetapi jika pemain pertahanan dan penjaga golnya lemah maka pasukan tersebut berkemungkinan kalah kerana jumlah gol yang dijaringkan mungkin tidak akan dapat mengatasi jumlah gol yang dibolos lawan.

“Maka yang demikian, untuk berjaya, kita perlu bekerja sebagai pasukan 1Malaysia yang seia, sekata, sebaris, sederap dengan satu wawasan, satu matlamat dan satu citra, mempersembahkan yang terbaik kepada Malaysia dengan segala kudrat yang termampu,” pinta Najib.

Perdana Menteri berkata demikian semasa membentangkan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Iban, orang Kadazan Dusun, orang Melanau, orang Murut, orang Sikh, orang Asli, orang Serani, orang Siam, pendek kata setiap etnik di bumi tercinta ini telah menyumbang kepada terbangunnya sebuah negara bangsa Malaysia yang aman dan makmur seperti mana hari ini.

Namun harus barang diingat, ujar beliau, ia tidak dapat menandingi potensi sumbangan yang mampu dihasilkan oleh mereka seandai dan sekiranya dilakukan secara kolektif.

“Lantaran itulah, saya ingin mengajak semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, anutan agama dan fahaman politik supaya bersama-sama dengan kerajaan untuk mencipta sebuah Malaysia yang lebih baik, Malaysia di mana semua mempunyai rasa kepunyaan, Malaysia di mana semua bakat dihargai dan digunakan sebaik-baiknya, Malaysia di mana yang mengehadkan adalah hanya, sejauh mana kesanggupan individu untuk bekerja keras bagi

mencapai cita-cita.

“Suka tidak suka negara hari ini berada di persimpangan antara masa depan yang gemilang atau masa depan yang suram. Pilihan kini terletak di tangan setiap rakyat Malaysia.

“Hari ini ibarat kita berada pada pusingan akhir lumba larian berganti-ganti dengan baton sudah berada di tangan hanya menanti tekad untuk

menggapai kejuaraan.

“Bermula detik ini bersamalah kita memulakan perjalanan, perjalanan yang bukan mengambil masa sehari, seminggu, sebulan mahupun setahun tetapi perjalanan yang bertali arus, sambung menyambung diwarisi pula dari satu generasi ke generasi yang seterusnya.

“Berusaha dan bertawakallah mudah-mudahan kita bertemu jaya, Insya-Allah,” doa Najib. – Utusan

0 comments: