.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, May 15, 2010

0 Piala Thomas: Ulasan jujur Lin Dan: " Kami sama bagus tetapi kali ini Dia bukan dirinya yang sebenar. "

Chong Wei amat tertekan - Lin Dan

KUALA LUMPUR - Lin Dan berkata, aksi kaku dan permainan tertekan Datuk Lee Chong Wei memudahkan tugasnya untuk menumpaskan jaguh No. 1 dunia itu 21-17, 21-8 dalam perlawanan berat sebelah di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam.

Juara Olimpik dan dunia itu mengakui, lawannya tidak menunjukkan permainan sebenar akibat tidak mampu menanggung bebanan hebat untuk membantu Malaysia mengembalikan Piala Thomas selepas 18 tahun.

Biarpun diganggu oleh ribuan penonton tuan rumah yang bersorak untuk Chong Wei dan kadang kala mengejeknya, namun kata Lin Dan keadaan itu tidak memberi tekanan kepadanya, sebaliknya Chong Wei yang lebih tertekan.

"Sebenar(nya)permainan saya dan Chong Wei sama bagus tetapi hari ini dia bukan dirinya yang sebenar. Dia jelas amat tertekan, mungkin kerana Malaysia terlalu mengharapkan dia untuk merampas kembali Piala Thomas selepas 18 tahun.

"Lagipun, selepas memenangi semua kejohanan besar seperti Sukan Olimpik, Kejohanan Dunia, malah Piala Thomas, saya kini menjadi pemain yang lebih relaks dan tidak mudah tertekan. Saya bermain dengan lebih seronok kerana tiada apa yang hendak dibimbangkan," kata Lin Dan, yang membuka bajunya sebaik menundukkan Chong Wei dalam masa 47 minit.

Kata Lin Dan, dia jarang melakukan perkara seperti itu kecuali terlalu gembira. Dia pernah melakukan perkara yang sama ketika menundukkan jaguh Denmark, Peter Hoeg Gade selepas memenangi perlawanan final Piala Thomas di Jakarta 2004.

"Itu (buka baju) bukan kebiasaan saya, tetapi saya akan melakukannya kalau terlalu gembira. Enam tahun lalu saya amat gembira, hari ini juga saya sangat gembira kerana mengalahkan Chong Wei di depan penyokongnya sendiri," katanya.


Artikel berkaitan:

China memang terbaik – Rashid, (Rexy)

Oleh FERZALFIE FAUZI
sukan@utusan.com.my


KUALA LUMPUR – China memang terbaik, kami tewas kepada pasukan yang bagus, itulah kata-kata yang diberikan oleh jurulatih Malaysia selepas ditunjukkan jalan keluar oleh China apabila kalah 0-3 dalam perlawanan separuh akhir Piala Thomas 2010, semalam.

Tidak ada apa lagi yang dapat disimpulkan oleh ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek dan jurulatih beregu, Rexy Mainaky melainkan hanya melemparkan kata-kata pujian kepada penyandang juara itu apabila anak-anak buahnya tewas mudah.

Bagi Rashid, mereka kalah kepada sebuah pasukan yang memang kuat dan seimbang walaupun pemainnya telah sedaya upaya memberi tentangan kepada China.

“Saya lihat dengan begitu jelas sekali mereka memang sebuah pasukan yang kental dan telah membuat persiapan rapi untuk mempertahankan trofi ini,” katanya selepas perlawanan antara Malaysia dan China tamat di Stadium Putra Bukit Jalil semalam.

Jelasnya, pemainnya telah berhempas-pulas untuk menewaskan pemain China tetapi gagal melakukannya dan dia mengakui pasukan negara tembok besar itu berhak untuk mencatat kemenangan semalam.

“Kita memang merasakan persiapan yang telah kita lakukan sudah terbaik, tetapi kita silap, China telah melakukan persiapan yang lebih baik berbanding kita, walaupun ada pemain mereka tewas pada beberapa kejohanan sebelum ini termasuk Lin Dan di kejohanan All England.

“Kualiti yang mereka pamerkan sangat berbeza berbanding sebelum ini, mungkin mereka telah meletakkan sasaran untuk mempertahankan kejuaraan ini dengan tidak mempedulikan kejohanan lain ataupun ranking dunia,” katanya.

Ditanya mengenai peluang Malaysia bagi kejohanan yang sama dua tahun lagi ketika Wong Choong Han dan Muhammad Hafiz Hashim sudah meniti usia, Rashid berkata, Malaysia tidak ada cara lain selain membentuk pemain muda menjadi pemain yang berkualiti.

“Kita tidak ada pilihan untuk itu selain membangunkan pemain-pemain muda tidak kira cara apa sekali pun kita mesti mengerah mereka menjadi pemain yang hebat,” katanya.

Sementara itu, Rexy juga berpendapat yang sama dengan Rashid dengan mengatakan pasukan China yang gagal dijinakkan mereka betul-betul terbaik dan dia sangat terkejut dengan permainan yang dipamerkan oleh kesemua pemain negara itu.

“Kita sudah melakukan segalanya, memberikan tentangan yang habis baik kepada mereka tetapi China ternyata sukar untuk ditundukkan baik pemain perseorangan mahupun beregu,” katanya selepas tamat perlawanan itu.

0 comments: