.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, May 15, 2010

0 Penjawat awam bergaji rendah mendapat perhatian PM. Kumpulan sasaran ini pula sedang fikirkan angkasanya

Tekad naikkan gaji pekerja

Oleh ZULKIFLI JALIL dan THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 14 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak sampai hati melihat gaji penjawat awam rendah dan yakin kerajaan diketuainya mampu meningkatkan pendapatan per kapita negara dari AS$7,000 (RM22,400) kepada AS$15,000 (RM48,000) dalam tempoh 10 tahun ini.

Tegas Perdana Menteri, meskipun amat mencabar, usaha merealitinya boleh dicapai.

Kata beliau, tekad untuk meningkatkan pendapatan negara itu akan turut melibatkan para penjawat awam yang memperoleh gaji minimum sekitar RM1,024.

''Saya tidak suka melihat penjawat awam bergaji rendah.

''Apabila saya dengar baru-baru ini pekerja pos dapat gaji di bawah garis kemiskinan, saya minta ia dikaji semula, naikkan dan insya-Allah, gaji mereka akan naik Julai ini dengan 15,000 orang dapat gaji baru," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Penjawat Awam 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman.

Omar baru-baru ini berkata, CUEPACS mahu kerajaan melakukan semakan semula gaji kakitangan awam, bukannya membuat penyelarasan gaji.

Menurutnya, CUEPACS tidak menuntut penyelarasan gaji sebaliknya mahu semakan gaji kakitangan awam membabitkan kenaikan antara 20 dan 40 peratus kepada 1.2 juta kakitangan awam di seluruh negara.

CUEPACS, kata beliau, akan menolak sebarang cadangan untuk membuat penyelarasan gaji kakitangan awam sebanyak 10 peratus kerana ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah 400,000 kakitangan yang menerima gaji terlalu rendah iaitu antara RM480 dan RM690 sebulan.

Perdana Menteri berkata, konsep negara perlu berteraskan kepada modal insan jika mahu menjurus kepada ekonomi inovatif dan berpengetahuan.

''Kalau nak membangun, rakyat yang berpengetahuan tinggi mesti diberi gaji yang setimpal, ini termasuk penjawat-penjawat awam.

''Dengan ini akan berlaku anjakan di mana kita iktiraf dari segi kemampuan ilmu, kemahiran dan kebolehan supaya apa yang kita beri dari segi gaji dan kemudahan sama ada dalam sektor awam atau swasta biarlah setanding dengan negara-negara maju yang lain," katanya.

Kata beliau: ''Dalam aspek ini, kita akan lakukan dengan tingkatkan produktiviti. Produktiviti ini penting sejajar dengan semangat yang diberikan penjawat awam."

0 comments: