.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Monday, April 26, 2010

0 Kisah Al Qaeda DiFilemkan

Tayangan perdana filem kisah al-Qaeda
NEW YORK 25 April - Sebuah filem baru arahan pemenang anugerah Oscar, Alex Gibney (gambar) yang membongkar budaya dan sejarah kewujudan al-Qaeda serta motifnya menyerang Amerika Syarikat (AS) ditayangkan pada Festival Filem Tribeca, hari ini

'My Trip to Al-Qaeda,' mengisahkan pengembaraan wartawan AS, Lawrence Wright ke serata dunia bagi mencari susur galur sejarah tentang penubuhan al-Qaeda serta punca ia dan pemimpinnya, Osama bin Laden menjadi radikal.

''Kita tahu al-Qaeda, kita tahu keganasannya, kita tahu ancamannya tetapi kita sebenarnya tidak tahu mengapa dan bagaimana. Perjalanan peribadi Larry (Lawrence) membolehkan kita memahami perkara tersebut secara agak mudah dan menarik,'' kata Gibney dalam satu temubual.

Diadaptasi daripada buku The Looming Tower: al Qaeda and the Road to 9/11, karya Wright pada 2007 yang memenangi Hadiah Pulitzer, filem berkenaan saling beralih daripada Wright bercerita di atas pentas dan temubual sebenar dengan sumber Wright.

''Mencari al-Qaeda tidaklah begitu mudah, seperti persoalan siapakan individu di sebaliknya? Ia mengenai dari mana mereka datang. Apakah punca yang menyebabkan keganasan dijadikan manifesto?'' kata Gibney.

Filem berkenaan bermula dengan Wright menjelaskan proses Ayman al-Zawahiri, seorang pakar bedah Mesir yang menubuhkan al-Qaeda berubah menjadi radikal.

Pada 1984, al-Zawahiri keluar dari sebuah penjara di Kaherah selepas diseksa dengan elektrik dan anjing liar selama tiga tahun, menurut Wright.

''Ekoran itu beliau telah menjadi seorang yang kental dan berazam untuk membalas dendam,'' kata wartawan itu.

Selepas itu filem berkenaan beralih untuk menerangkan bagaimana bapa Osama bin Laden yang dipaparkan sebagai seorang buruh Yemen bermata satu yang tidak terpelajar muncul sebagai kontraktor terbesar di Arab Saudi.

Bagaimanapun Osama bin Laden hilang kepercayaan terhadap Arab Saudi, kata Wright merujuk kepada peristiwa beliau dihina setelah permintaannya ditolak oleh Arab Saudi bagi melindungi rakyatnya apabila Kuwait ditakluk oleh Saddam Hussein pada 1990.

Sebaliknya Arab Saudi beralih kepada AS yang menyebabkan maruah Osama Bin Laden tercalar.

Menurut penulis berkenaan, insiden berkenaan menjadi agenda awal al-Qaeda untuk menghalau tentera AS dari Asia Barat kerana kehadirannya merupakan satu penghinaan.

Osama bin Laden juga menurut Wright, dikuatkan semangatnya oleh satu peristiwa bersejarah pada 11 September 1683. Pada tarikh tersebut tentera Poland, Austria dan Jerman mematahkan penguasaan Empayar Ottomaniah ke atas Vienna, sekaligus menandakan permulaan kejatuhan empayar Islam itu dan pengikut Kristian di Barat kembali bertapak.

Menurut Gibney, adalah sesuatu yang menarik untuk mengetahui cara Osama bin Laden melihat semula dirinya sebagai seorang wira yang akan memimpin Asia Barat bagi mencapai kemenangan ke atas Barat. - Reuters

0 Orang India Terkaya Di Negeri Orang. Betapa Hebatnya!

Jutawan India terkaya di Britain

LONDON 25 April - Nilai harta individu- individu terkaya di Britain dilaporkan meningkat sebanyak 30 peratus dalam tempoh setahun ketika kebanyakan negara masih bergelut untuk pulih daripada kegawatan ekonomi.

Senarai kekayaan individu terkaya di Britain yang disiarkan Sunday Times hari ini, menunjukkan hartawan keluli dari India, Lakshmi Mittal dan keluarganya kekal di tangga teratas dengan aset berjumlah AS$34.5 bilion (RM110 bilion), berbanding AS$16.6 bilion (RM53 bilion) yang diperolehnya pada tahun lalu.

Jutawan Rusia yang juga pemilik Kelab Bola Sepak Chelsea, Roman Abramovich, kekal di tangga kedua dengan kekayaan berjumlah AS$11.3 bilion (RM36 bilion), peningkatan sebanyak AS$615 juta (RM2 bilion) berbanding tahun sebelumnya.

Penyusun senarai itu bagi 2010, Philip Beresford berkata, peningkatan jumlah kekayaan individu-individu terkaya di Britain pada tahun ini merupakan peningkatan tertinggi sejak ia pertama kali disiarkan 21 tahun lalu.

Pemulihan pasaran saham global dan nilai harta berikutan kegawatan ekonomi dunia sebelum ini, membantu meningkatkan kekayaan individu-individu berkenaan.

Seramai 1,000 individu terkaya di Britain menambah kekayaan terkumpul mereka sehingga AS$118.4 bilion (RM377 bilion) pada tahun lalu, meningkatkan jumlah kekayaan keseluruhan sebanyak AS$515.9 bilion (RM1.6 trilion).

Sepuluh individu berkongsi kedudukan sebagai jutawan ke-53 terkaya di Britain.

Peningkatan pasaran komoditi menambah kekayaan usahawan perlombongan, Alisher Usmanov sebanyak 213 peratus kepada AS$7.2 bilion (RM22.9 bilion) dan Anil Agarwal sebanyak 583 peratus kepada AS$6.3 bilion (RM20.1 bilion).

Ketika menjelaskan sebab-sebab usahawan asing mengatasi jutawan Britain dalam senarai itu, Beresford berkata, rakyat Rusia menyukai United Kingdom (UK) kerana ia selamat, tahap rasuahnya rendah dan mereka mendapat layanan perkhidmatan yang memuaskan. -- AFP

Sunday, April 25, 2010

0 111 Kali. Mendaki Tanpa Henti. Apa kuasa dalaman yang mendorongnya?

Mohd. Noor memang 'gila'

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
lutfi.abdulrahim@kosmo.com.my

Keupayaan kardiovaskular Mohd. Noor dianggap pelik dan luar biasa semasa beliau menjayakan misi menakluk Gunung Kinabalu sebanyak 111 kali dalam masa 111 hari.


MISINYA selepas ini ialah mendaki Menara Kuala Lumpur sebanyak 111 kali dalam masa 168 jam.


KAKINYA hitam dan melecet, tumitnya pula pecah, manakala mukanya gelap dek menadah panas terik matahari yang adakalanya mencecah suhu 43 darjah Celsius.

Malah ada nada sinis daripada pendaki lain yang mengatakan beliau melakukan kerja gila namun semua itu tidak diambil pusing.

Beliau ialah Mohd. Noor Mat Amin, 43, pendaki solo yang melakar sejarah menjadi manusia pertama menakluk Gunung Kinabalu sebanyak 111 kali dalam tempoh 111 hari Selasa lalu.

“Jika orang kata saya gila memang saya gila. Tetapi gila saya adalah untuk mencapai matlamat yang baik dan menjadi ikutan kepada individu lain.

“Saya ingin membuktikan seseorang mampu mencapai impian jika diselarikan dengan usaha dan tawakal pada Allah,” ujar Mohd. Nor merendah diri.

Semasa beliau bertekad merealisasikan impian, ramai pendaki dari China, Thailand, Brunei, Jepun dan beberapa negara Eropah memandang rendah usaha beliau.

Tetapi semua itu tidak menghalang cita-cita Mohd. Noor.

Beliau memulakan misi menawan puncak Gunung Kinabalu, iaitu gunung tertinggi di Asia Tenggara (4,095 meter) sebanyak 111 kali bermula 31 Disember lalu. Jarak perjalanan dari kaki gunung ke puncak ialah 8.7 kilometer

Berbicara soal cabaran, bukan calang-calang yang beliau tempuhi. Namun, diberi kebenaran mendaki pada waktu malam oleh pihak Taman Kinabalu merupakan suatu keistimewaan yang jarang diperoleh pendaki lain.

“Hujan lebat telah saya redah, begitu juga kabus tebal dan angin kuat. Ia cukup getir bagi saya. Malah hujan lebat yang membentuk air terjun yang turun dari puncak gunung cukup menggentarkan.

“Mujurlah tiada istilah putus asa kerana misi 111 kali pendakian belum tercapai ketika itu,” ujar Mohd. Noor jujur.



MOHD. NOOR membuktikan keazaman yang kuat menjadi kunci kejayaan.


Selipar

Pernah melihat kelibat rusa, Mohd. Noor menceritakan pada pendakian ke-70 hingga 111 beliau terpaksa memakai selipar sahaja ekoran tumitnya yang merekah teruk dan melecet sehingga menyukarkan beliau memakai kasut.

“Saya tidak henti-henti berdoa supaya dipermudahkan usaha saya,” ujarnya.




--------------------------------------------------------------------------------



Akhirnya setelah bersusah payah, beliau berjaya menamatkan pendakian terakhir tepat pukul 11.50 pagi (Selasa) di Timpohon Gate selepas memulakan pendakian bersama jurupandu, Safrey Sumping pada pukul 12 tengah malam sebelumnya.

Namun, tidak semuanya sukar bagi jurugambar Utusan Malaysia ini.

“Saya dapat menyambut hari lahir saya pada 3 Februari lalu di puncak gunung di samping penghargaan daripada isteri dan anak yang turut serta pada pendakian ke-49.

“Saya juga sering menerima panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada isteri yang memberi kata-kata semangat.

“Ia menjadi tonik berharga untuk saya meneruskan perjuangan,” katanya.

Menurut Mohd. Noor, beliau turut mengambil makanan tambahan untuk tulang iaitu Triflex dan power gel bagi menambah tenaga sepanjang Projek Pendakian Solo 1Malaysia itu.

Adakah kegilaan lelaki ini terhenti selepas mencatat rekod pendakian 111 kali itu? Tidak sama sekali.

Selepas ini beliau mahu mendaki Menara Kuala Lumpur pula, juga sebanyak 111 kali dalam tempoh 168 jam. Projek itu akan dilakukan dari 8 hingga 14 Mei ini bagi melayakkan dirinya melakar nama dalam Guinness World of Records.

Tidur

Fisioterapi Mohd. Noor, S. Mohd. Salim S. Ibrahim ketika dihubungi Jurnal memberitahu, ada masanya beliau berasa kasihan dengan Mohd. Noor yang pada pendapatnya sering memendam rasa sakit.

“Kerana itu saya kadangkala membenarkan kata orang lain yang dia seorang yang gila.

“Tapi Mohd. Noor begitu berdisiplin. Apa yang kita larang dia daripada melakukannya akan dipatuhi.

“Semangatnya cukup tinggi malah dia tidur empat jam sahaja demi merealisasikan impiannya,” katanya.

Ujar Salim lagi, beliau akan mengurut seluruh badan Mohd. Noor selama lebih dua jam setiap sesi bagi memastikan ‘pelanggannya’ itu berada dalam keadaan baik untuk pendakian seterusnya.

“Memang dia gila - tetapi daripada kegilaannya itu tercetusnya idea dan benda baru dalam hidup. Hidup kita memerlukan sesuatu yang baru dari semasa ke semasa,” katanya berfalsafah.

Adik Mohd Noor, Alias Mat Amin, 33, pula berkata beliau akan terus memberikan sokongan kepada abangnya itu jika beliau ingin mencipta rekod lagi selepas ini.

“Semangatnya sangat kuat. Sejak kecil lagi dia gemar mendaki. Kami bukan daripada keluarga mewah, jadi kami perlu membantu ibu bapa menoreh getah untuk menambah pendapatan.

Luar biasa

“Menoreh getah memerlukan kami menyelusuri bukit yang agak curam. Cuma dia (Mohd. Noor) lebih ke hadapan hingga dapat menyertai ekspedisi mendaki gunung tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest pada 1997,” katanya ketawa.

Tambah beliau, orang yang tidak mengenali Mohd. Noor mungkin akan mengatakan abangnya itu seorang yang gila kerana sering melakukan perkara yang tidak terlintas dalam fikiran orang lain.

“Tetapi semua yang dilakukannya adalah untuk membuktikan bahawa kejayaan itu pasti datang jika kita menetapkan sasaran dari awal,” katanya.

Bagi pegawai perubatan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menjadi ketua projek pendakian solo Mohd. Noor itu, Dr. Dayang Maryama Awang Daud, ketahanan mental yang tinggi dan sifat tidak berputus asa menjadi kunci kejayaannya.


MOHD. NOOR diurut selama dua jam setiap sesi bagi membolehkannya melakukan pendakian seterusnya.



“Tubuhnya dalam keadaan normal semasa diperiksa malah kesihatannya bertambah baik. Struktur otot beliau lebih mantap berbanding sebelum ini.

“Malah, keupayaan kardiovaskular beliau (kecekapan sistem peredaran dan sistem pernafasan untuk membekalkan oksigen kepada otot secara berterusan) meningkat lebih-lebih lagi semasa berada di paras yang tinggi itu. Itu yang agak pelik.

“Biasanya selepas melakukan aktiviti lasak, daya tahan seseorang akan berkurangan tetapi beliau (Mohd. Noor) sebaliknya pula.

“Namun, banyak lagi yang belum habis dikaji tetapi itulah Mohd. Noor – manusia luar biasa,” kata Dayang jujur.

Friday, April 23, 2010

0 Kumpul dan simpan 1j. Dengan ada RM1j pun anda boleh fikirkan untuk bersara awal

Dari news sabah times:


Dari Daily Ekspress:

Thursday, April 22, 2010

0 Rogol dalam kelas. Rakan subahat buat bulatan. Kemerosotan akhlak adalah dijangkakan!

Remaja mangsa rogol derita, pensil di dalam kemaluan
KUALA LUMPUR 21 April - Seorang pelajar tingkatan dua bukan sahaja dirogol rakannya, tetapi terpaksa menanggung kesakitan setelah suspek memasuk dan meninggalkan pensil di dalam kemaluannya.

Ia bagaimanapun disedari hanya setelah mangsa menjalani pemeriksaan di Hospital Selayang dekat sini, sebagai sebahagian prosedur siasatan polis.

Hasil pemeriksaan, doktor menemui pensil berukuran empat sentimeter tersebut di dalam kemaluan gadis berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supritendan Rosly Hassan berkata, pemeriksaan sama turut mengesahkan gadis itu telah hamil sebulan.

Katanya, pengesahan kehamilan tersebut sekali gus membongkar bahawa mangsa telah dirogol oleh pelajar lain sebelum itu.

"Mangsa telah dirogol sebanyak dua kali sebelum ini dan kali ketiga pada minggu lalu apabila dirogol di dalam kelas.

"Dalam kejadian terbaru, perbuatan itu dilakukan oleh suspek dengan dilindungi rakan-rakannya yang membuat bulatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dekat sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan seorang pelajar berusia 14 tahun telah dirogol rakan sebayanya di dalam kelas di sebuah sekolah menengah dekat Rawang, Selasa lalu.

Kisah itu didedahkan oleh mangsa yang menghuni sebuah rumah kebajikan kepada pengasuh sebelum laporan polis dibuat.

Berikutan itu, seorang pelajar telah ditahan reman bermula kelmarin sehingga 26 April ini mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Rosly memberitahu, dalam kejadian pertama, mangsa dirogol pelajar lain di tepi padang sekolah, namun perkara itu disembunyikan mangsa kerana khuatir tidak dibenarkan bersekolah lagi.

Menurutnya, berikutan maklumat baru itu, pihaknya menahan enam lagi pelajar sekolah tersebut yang kesemuanya berusia 14 tahun petang ini.

Katanya, mereka ditahan kerana disyaki terlibat merogol dan bersubahat dalam kejadian tersebut.

Jelasnya, polis akan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap bayi tersebut selepas ia dilahirkan bagi mengetahui bapanya.

Saturday, April 17, 2010

0 Barack Obama dan Hasil Buku. Hasil juta-juta. Ambil pelajaran dari kisah ini

Barack Obama bayar cukai RM6 juta
WASHINGTON 16 April - Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama dan isterinya, Michelle Obama membayar cukai pendapatan persekutuan bernilai AS$1.79 juta (RM6.08 juta) selepas memperoleh pendapatan berjumlah AS$5.5 juta (RM18.7 juta) pada 2009, kebanyakannya daripada hasil jualan bukunya.

White House memberitahu semalam, pembayaran yang dibuat Obama bersama Wanita Pertama itu menunjukkan pasangan berkenaan semakin kaya sejak menjadi pemimpin AS yang mana kebanyakan pendapatan mereka diperoleh daripada jualan buku mereka yang mendapat sambutan.

Kisah kenangan Obama yang dibukukan melalui Dreams From My Father dan The Audacity of Hope: Thoughts on Reclaiming the American Dream menjadi jualan laris New York Times.

Kedua-kedua buku itu diterbitkan sebelum Obama menjadi Presiden.

Laporan tahunan pendapatan kasar Obama menunjukkan dia memperoleh AS$5.5 juta (RM18.7 juta) pada 2009, peningkatan berbanding AS$2.6 juta (RM8.8 juta) pada 2008.

Pasangan itu juga dilaporkan membayar AS$163,303 (RM521,344) bagi cukai pendapatan di Illinois, sebuah negeri yang mana Obama menjadi senator sebelum dipilih sebagai presiden pada 2008.

Selain itu, Obama juga mendermakan AS$329,100 (RM1.05 juta) kepada 40 pertubuhan kebajikan tahun lalu.

Naib Presiden AS, Joe Biden dan isterinya, Jill, pula dilaporkan membayar cukai pendapatan lebih rendah, kata kenyataan White House.

Biden memperoleh AS$333,182 pada 2009 (RM1.06 juta) dan membayar AS$71,147 (RM227,549) bagi cukai pendapatan persekutuan.

Obama menerima pendapatan AS$400,000 (RM1.27 juta) setahun manakala Biden memperoleh AS$227,300 (RM725,973) tahun lalu bagi jawatan masing-masing. - Reuters

0 Wartawan, dengarlah seruan menteri! Kita ada tanggungjawab besar untuk bangsa dan negara

Pengamal Media Diminta Guna Karier Untuk Kebaikan Negara


KUALA LUMPUR :
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap pengamal media di negara ini menggunakan karier mereka demi kebaikan negara dan kerukunan rakyat.

Beliau berkata ini kerana media mempunyai pengaruh yang besar kepada pemikiran rakyat terutama dengan adanya perkembangan infrastuktur dan teknologi media yang semakin canggih masa kini.

" Jika media saudara dapat membentuk pemikiran 100 orang rakyat, itu merupakan suatu pencapaian hebat apatah lagi jika ia dapat mempengaruhi berjuta-juta rakyat pada setiap jam dan hari.

" Jadi gunakanlah karier saudara-saudara itu untuk kebaikan negara kita dan demi kerukunan rakyat, " katanya ketika berucap merasmikan Malam wartawan Malaysia 2010, di sini, malam kelmarin.

Muhyiddin berkata nilai-nilai dan identiti Malaysia perlu mendasari cara kerja media di Malaysia, justeru media perlu memainkan peranan dalam membentuk persepsi rakyat dan bagaimana dunia melihat Malaysia selain meminimumkan kebencian, pertelagahan dan prejudis.

" Malah lebih murni lagi sekiranya sikap serta perasaan negatif tersebut ditiadakan. Maksumumkan hujah berasas, dialog dan keharmonian. Minimumkan media yang sombong, tidak sensitif, tidak tepat, bias (berat sebelah) yang keterlaluan dan sensasi yang tidak berhemah. Tolonglah kerajaan memaksimumkan apa yang baik untuk negara kita, " katanya. - BERNAMA


Artikel berkaitan:

Media diperlu masa senang, sukar
Oleh Norfatimah Ahmad dan Nazura Ngah
bhnews@bharian.com.my
2010/04/17


MUHYIDDIN menyampaikan anugerah Foto Cemerlang kepada Fathil pada Malam Kewartawanan Malaysia 2010, sambil disaksikan Shamsul Azhar di Kuala Lumpur, malam tadi. Sokongan bantu bangunkan negara, bentuk pemikiran rakyat: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan memerlukan sokongan media sebagai rakan akrab dalam pembangunan negara pada masa senang atau saat sukar, tetapi tidak minta dipuji, diampu atau menyembunyikan kebenaran, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata, laporan akhbar, radio, televisyen dan kini portal berita internet sedikit sebanyak mempunyai kesan ke atas pemikiran rakyat dan membentuk pendapat mereka. Sehubungan itu, katanya, kerajaan mengiktiraf media sebagai mata dan telinga masyarakat, pentadbir dan pemimpin menerusi peranannya dalam menyampaikan maklumat dan menyediakan landasan untuk orang ramai membahaskan isu penting sebelum membuat sesuatu keputusan dan pendirian.

Katanya, media yang bersifat profesional melaksanakan tugas dengan amanah bagi membaiki mutu kehidupan masyarakat, mewujudkan persekitaran untuk ekonomi dan membantu dengan cara tersendiri mencipta pekerjaan untuk rakyat, membaiki mutu pentadbiran dan meninggikan demokrasi.

“Saya berpegang kepada pendirian tiada demokrasi tanpa media, industri media begitu subur pertumbuhannya di Malaysia sekali gus menunjukkan nilai tinggi demokrasi di negara ini.

“Nilai dan identiti Malaysia perlu mendasari cara kerja media di Malaysia. Ingatlah peranan media dalam membentuk persepsi rakyat Malaysia dan bagaimana dunia melihat Malaysia. Bantulah minimumkan kebencian, pertelagahan dan prejudis.
“Malah lebih murni jika sikap serta perasaan negatif itu ditiadakan. Maksimumkan hujah berasas, dialog dan keharmonian,” katanya pada Malam Wartawan Malaysia 2010, yang diadakan sempena penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2009 (HKM 2009).

Majlis seumpama itu dianjurkan Institut Akhbar Malaysia (MPI) buat kali ke 30 dan yang ke 16 membabitkan kerjasama MPI dan Petronas.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya; Pengerusi Media Prima Bhd, Datuk Johan Jaaffar; Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima, Datuk Ahmad A Talib; Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd, Zainul Ariffin Mohamad Isa; Pengarang Kumpulan Harian Metro dan Metro Ahad, Datuk Mustapa Omar; Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mahfar Ali; Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas dan CEO MPI merangkap Pengerusi Malam Wartawan Malaysia, Datuk Chamil Wariya.

Muhyiddin berkata, hubungan mesra kerajaan dan media tidak semestinya menghakiskan kredibiliti kedua-dua pihak, malah tidak perlu rasa tertekan.

dalam menjalin kerjasama kerana ia penting untuk imbangan dalam sesebuah negara.

0 Hormatilah pemimpin negara. Mereka hendak buat kebaikan untuk rakyat dan negara

Lelaki mahu bunuh Obama kena 10 tahun


2010/04/17
Militan rancang pancung tokoh kulit hitam AS

WASHINGTON: Seorang militan kulit putih Amerika Syarikat dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kelmarin selepas didapati bersalah atas dakwaan bersubahat untuk membunuh calon Presiden ketika itu, Barack Obama dan berpuluh-puluh warga Afrika-Amerika lain pada 2008. Hakim J Daniel Breen menjatuhkan hukuman itu ke atas Paul Schlesselman, 19, dari West Helena, Arkansas selepas tertuduh mengaku bersalah Januari lalu dalam komplot besar-besaran mensasarkan warga kulit hitam Amerika. Dia mengakui terbabit dalam komplot untuk membunuh seramai 88 orang dan memancung 14 warga Afrika-Amerika yang diakhiri dengan membunuh Obama, yang ketika itu cuba menjadi Presiden kulit hitam pertama negara itu.

Schlesselman juga berkata, dia terbabit dalam rancangan mengangkut senjata api, mencuri senjata daripada seorang penjual berlesen dan menghantar senapang patah ke beberapa negeri bagi membantu melakukan pembunuhan, rompakan dan mencuri.

Pada 14 Januari lalu, Schlesselman mengaku bersalah kepada satu tuduhan terbabit dalam komplot pembunuhan, satu dakwaan mengancam untuk membunuh dan mencederakan calon presiden serta satu tuduhan memiliki senjata api.

Defendan bersama Schlesselman, Daniel Cowart, 21, juga mengaku bersalah dan kini menunggu hukuman, dijadualkan pada Julai depan.
Pihak berkuasa menyifatkan pasangan itu sebagai kumpulan radikal dan militan kulit putih yang ditahan pada Oktober 2008.

Cowart dari Bells, Tennessee dan Schlesselman bertemu di internet sebulan sebelum itu. Cowart membeli sepucuk raifal dan menyimpan dua senapang buatan tangan, kedua-duanya dicuri daripada datuknya.

Schlesselman juga memiliki selaras senapang pendek dan revolver yang diambil daripada bapanya tanpa kebenaran. – AFP

Wednesday, April 14, 2010

0 Gempa bumi di China.

67 maut akibat gempa kuat di China


2010/04/14
BEIJING: Sekurang-kurangnya 67 terbunuh dan ramai lagi dilaporkan tertimbus berikutan gempa kuat 6.9 magnitud melanda Wilayah Qinghai, awal pagi tadi.

Banyak rumah dilaporkan runtuh dengan jalan raya rosak dan terhalang oleh tanah runtuh selain sistem telekomunikasi turut terjejas teruk. Pegawai kerajaan berkata, ramai penduduk cedera berikutan gempa berkenaan yang mencetuskan panik di kalangan penduduk di kawasan pedalaman berdekatan sempadan Tibet itu. Agensi berita Xinhua melaporkan, lebih 85 peratus rumah di kawasan pusat gempa musnah dan runtuh, khususnya di Pekan Jiegu.

“Terdapat keretakan besar di bangunan Hotel Yushu, bangunan empat tingkat bangunan kerajaan juga runtuh.

"Sebahagian bangunan sebuah sekolah vokasional runtuh dan dilaporkan ramai murid tertimbus," kata seorang pegawai kerajaan. - AFP


Berita susulan:

Korban gempa China meningkat 617 orang



Bangunan kediaman dan komersial di bandar Jiegu, daerah Yushu di Qinghai, wilayah barat China ranap selepas dilanda gempa bumi kuat, kelmarin. - AP

--------------------------------------------------------------------------------



YUSHU 15 April - Jumlah korban gempa bumi di daerah terpencil dan bergunung-ganang di Yushu, wilayah barat laut China meningkat kepada 617 orang hari ini.

Angka kematian dijangka meningkat kerana mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan rumah, sekolah dan biara di ibu kota daerah, Jiegu (Gyegu dalam bahasa Tibet) menghadapi peluang tipis untuk hidup dalam keadaan suhu di bawah paras beku.

Konvoi trak membawa bekalan bantuan dan khemah kepada mangsa yang menghadapi ancaman cuaca sejuk mula tiba di kawasan tersebut hari ini.

Konvoi bas yang membawa pekerja penyelamat dan trak yang mengangkut makanan dan ubat-ubatan bergerak sepanjang malam mengharungi salji, ribut pasir dan angin kencang di lebuh raya sejauh 1,000 kilometer yang memisahkan Yushu daripada ibu kota Qinghai, Xining.

Khemah-khemah didirikan di sekitar patung seorang pahlawan berkuda di Jiegu, di mana tinggalnya majoriti daripada 100,000 penduduk di kawasan itu.

Sami Buddha menggali runtuhan menggunakan penyodok, sementara askar menghulurkan nasi dan bubur kepada mangsa yang kesejukan.

Stadium sukan kini dijadikan hospital sementara, tetapi masih tidak mencukupi bagi merawat begitu ramai mangsa yang patah tulang dan mengalami kecederaan lain. Berpuluh-puluh penduduk Tibet yang cedera dan trauma terlantar di luar stadium.

Gempa bumi itu berpusat di kawasan pergunungan yang membahagikan wilayah Qinghai dengan Wilayah Autonomi Tibet (TAR).

Dataran Tibet sering digegarkan gempa bumi, walaupun kemalangan jiwa selalunya sedikit kerana tidak ramai penduduk tinggal di sana.

Hampir 10,000 penduduk cedera dalam gempa bumi semalam, 1,000 daripada mereka parah, sementara beratus-ratus lagi penduduk belum diketahui nasib mereka. - Reuters

0 Peranan Malaysia diiktiraf AS. Tujuannya ialah keamanan. Supaya bumi ini dapat dihuni lebih lama lagi.

AS yakin kita mampu – Najib

Oleh Othman Mohamad



Najib Tun Razak (dua dari kanan, di baris ketiga) bergambar bersama Barack Obama (depan, tengah) serta para pemimpin dunia pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear 2010 di Pusat Konvensyen Washington, semalam. – Bernama

--------------------------------------------------------------------------------



WASHINGTON 13 April – Amerika Syarikat (AS) berkeyakinan Malaysia, dengan kedudukan dan pengaruh tersendiri dalam komuniti global, dapat memainkan peranan lebih besar ke arah menjadikan dunia lebih aman dan stabil termasuklah bebas daripada percambahan senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran.

Harapan tinggi AS itu dinyatakan oleh Presiden Barack Obama kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada mesyuarat dua hala Malaysia-AS yang disifatkan Perdana Menteri telah melalui permulaan baru yang turut menjangkaui pelbagai bidang seperti ekonomi dan perdagangan, teknologi, pendidikan tinggi dan pelancongan.

‘‘Perkembangan ini satu pengiktirafan kepada kita dan menggambarkan Malaysia bukan setakat peringkat nasional tetapi sebuah negara komuniti global yang mana kedudukan, perhubungan dan pengaruh kita boleh membantu dunia menjadi lebih aman dan lebih stabil,” kata Najib kepada wartawan Malaysia di sini malam tadi.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Malaysia kerana meluluskan Rang Undang-Undang Perdagangan Strategik 2010 baru-baru ini, Obama menyifatkan ia tindakan awal dan amat bermakna yang diambil oleh Malaysia sebagai negara yang mementingkan keamanan sejagat, jelas Najib.

Katanya, melalui akta itu, yang bertujuan membanteras pengedaran apa juga bahan nuklear bagi mengeluarkan senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran, bermakna tindakan penguatkuasaan dalam hal terbabit menjadi lebih berkesan.

Malah, kata beliau, jemputan Obama kepada Malaysia yang bukan pun negara nuklear, bersama-sama 46 lagi ketua kerajaan atau negara ke Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di sini menunjukkan keyakinan AS bahawa Malaysia boleh memainkan peranan mencegah percambahan senjata nuklear khususnya berhubung pembangunan tenaga nuklear oleh Iran.

Sidang kemuncak dua hari itu berakhir hari ini.

‘‘Presiden Obama sedar Malaysia mempunyai hubungan rapat dengan Iran,” kata Najib sambil menegaskan beliau memberitahu Obama bahawa dasar Malaysia dalam hal itu jelas.

Menurutnya, Iran ada hak menggunakan kuasa nuklear untuk tujuan penjanaan elektrik atau kesejahteraan dan keamanan tetapi Malaysia tidak menyokong Iran memajukan senjata nuklearnya.

Oleh itu Perdana Menteri berharap Iran, yang tidak dijemput ke sidang kemuncak ini, dapat memenuhi tanggungjawab untuk bersama-sama masyarakat dunia agar tidak mengambil kesempatan meningkatkan keupayaan nuklearnya kerana boleh membawa kepada konfrontasi dan ketidakstabilan khususnya di Asia Barat dan dunia amnya.

Beliau menambah setiap negara berhak menggunakan tenaga nuklear untuk kesejahteraan dan keamanan seperti bagi menjana tenaga elektrik.

Perdana Menteri juga berkata, kesediaan Obama untuk mendengar dan berbincang dengan melibatkan negara Islam serta tidak mengambil pendekatan bermusuhan dengan dunia Islam merupakan suatu perubahan memberangsangkan.

‘‘Saya rasa perubahan oleh pentadbiran baru AS ini amat memberangsangkan dan saya harap ia bukan sekadar pada gaya dan pendekatan tetapi juga ada isinya.” jelasnya.

Pada pertemuan tersebut juga Obama menyentuh tentang kemungkinan membantu pemulihan semula Afghanistan dan Perdana Menteri menjelaskan Malaysia telahpun menghantar satu pasukan bagi mengenal pasti kaedah serta lokasi yang boleh menempatkan para pegawai bagi membantu negara tersebut.

Ia sebenarnya berdasarkan permintaan kerajaan Afghanistan dan berdasarkan laporan pasukan tersebut, secara prinsipnya terdapat tiga bidang yang boleh disumbangkan oleh Malaysia iaitu latihan, pembinaan semula dan perubatan, katanya.

Perdana Menteri mengakhiri pertemuan 40 minit itu, melebihi jadual asal 30 minit, dengan menjemput Obama melawat Malaysia pada masa yang sesuai.

Kali terakhir Presiden AS melawat Malaysia ialah pada tahun 1966 iaitu Lyndon Baines Johnson. Namanya turut diabadikan pada sebuah tanah rancangan Felda di Negeri Sembilan - Felda LB Johnson.

0 Sembilan matlamat utama Wawasan 2020 dan kaitannya dengan 1Malaysia

Diambil dari Wikipedia Malaysia, topik Wawasan 2020 pada 14.04.2010:

" Dalam penyampaian kertas kerjanya, Laluan ke Depan (The Way Forward), kepada Majlis Perniagaan Malaysia, Dr Mahathir Mohamad menghuraikan sembilan matlamat utama Wawasan 2020:

Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama:
Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.

Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.

Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun.

Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika paling tinggi.

Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.

Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan.

Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh.

Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi.

Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

Menurut Dr Mahathir, kesembilan-sembilan matlamat utama ini tidak semestinya menjadi urutan keutamaan masyarakat Malaysia untuk tiga dekad yang akan datang. Tentunya keutamaan dalam satu-satu masa mesti memenuhi keadaan khusus pada masa berkenaan."

0 1Malaysia VS Malaysian Malaysia

Sunday, December 27, 2009

1MALAYSIA BN TAK SAMA MALAYSIAN MALAYSIA DAP, PKR, PAS

• 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, adalah gagasan pentadbiran, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak. Ia bukan sesuatu yang baru sebaliknya penyambung kepada gagasan-gagasan para pemimpin lain sebelum ini.

• 1Malaysia tidak sama dengan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh pakatan gerombolan pembangkang, khususnya DAP, PKR dan Pas.

• 1Malaysia berpaksi kepada perlembagaan negara dan Rukun Negara.

• Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama.

• 1Malaysia sangat berbeza dari konsep Malaysian Malaysia DAP, PKR, Pas dan tidak sekali-kali menyimpang daripada roh perlembagaan persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat atau secara tersirat.
• Gagasan 1Malaysia kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti perkara 3, perkara 4, perkara 152, perkara 153, bahagian 2 dan bahagian 3 sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

• Oleh yang demikian, jangan ada mana-mana pihak berasa khuatir atau menaruh syak serta bimbang bahawa konsep ini akan terpesong dari apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan suatu ketika yang lalu.

• 1Malaysia mengakui hakikat dan realiti bahawa Malaysia adalah negara majmuk dan kejayaan UMNO mestilah bersandar pada kejayaan orang Melayu dan sokongan rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN).

• 1Malaysia tidak boleh disamakan dengan Malaysian Malaysia kerana di bawah konsep 1Malaysia, rakyat berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia dengan mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik.

• Bagaimanapun, ini bukan bererti kerajaan mengetepikan dasar afirmatif. Dasar menolong kaum bumiputera, asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.

• Ketika hak istimewa orang Melayu dan penduduk Bumiputera dipertahankan dalam perlembagaan, masih ada jaminan kepentingan hak kaum lain dipelihara. Tidak seperti Malaysian Malaysia yang menuntut hak sama rata bagi semua.


• Gagasan 1Malaysia terlaksana dalam dua aspek utama. Aspek pertama ialah penerapan Teras-Teras Perpaduan manakala aspek kedua ialah penerapan Nilai-Nilai Aspirasi.


• Teras-teras perpaduan ada tiga perkara iaitu sikap penerimaan antara semua kaum dan rakyat Malaysia.



• Kedua, prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.


• Dan ketiga adalah keadilan sosial.


• Teras-teras Perpaduan ini pula didokongi oleh nilai-nilai murni yang perlu menjadi sebahagian dari budaya hidup rakyat Malaysia termasuklah nilai-nilai seperti hormat menghormati, Tawaddhu', kesederhanaan dalam tingkah laku dan tuturkata serta kebijaksanaan dalam sebarang keputusan dan tindakan.


• 1Malaysia menekankan elemen-elemen yang perlu menjadi amalan mana-mana masyarakat yang ingin berdaya maju dan berjaya.



• Elemen-elemen tersebut merangkumi Budaya Kecermerlangan dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab.



• Budaya Ketepatan dari segi menghormati waktu dan meningkatkan kecekapan.



• Keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang-peluang baru



• Meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada yang paling layak melaksanakannya berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara;



• Kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada tanahair tercinta.



• Ketabahan dalam mengharungi sebarang cabaran yang mendatang dan Integriti dalam segala urusan dan transaksi.


• Pembudayaan Nilai-Nilai Aspirasi ini akan menyerlahkan Masyarakat Malaysia yang berwibawa, dihormati dan disegani, bersesuaian dengan identiti sebuah negarabangsa yang maju dan berjaya.


• Dalam melaksanakan komitmen terhadap rakyat, Kerajaan mengutarakan tema "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" sebagai sebahagian dari gagasan 1Malaysia.



• Gagasan ini membawa maksud bahawa di samping menekankan peri-pentingnya perpaduan rakyat Malaysia, kerajaan juga akan memberikan keutamaan kepada isu-isu yang dianggap penting oleh rakyat.



• Kerajaan juga menekankan prestasi dan pencapaian oleh semua kakitangannya apabila berurusan dengan rakyat.



• Kerajaan amat memahami betapa pentingnya kecekapan dan kualiti perkhidmatan awam dalam meningkatkan mutu hidup rakyat justeru itu pendekatan mesra-rakyat akan diberi keutamaan oleh semua agensi-agensi kerajaan.



• Key Performance Index (KPI) atau Indeks Penunjuk Prestasi digunapakai dalam urusan kerajaan bermula dengan pemantauan KPI bagi semua Menteri-Menteri.



• Seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri ditugaskan khas untuk memastikan kelancaran pelaksanaan KPI ini.



• Segala inisiatif-inisiatif ini akan membawa perubahan yang nyata bukan sahaja kepada urusan pentadbiran negara, tetapi lebih penting ia akan membawa penambahbaikan kepada kualiti hidup rakyat Malaysia.



• 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" diyakini akan menjana satu transformasi ketara, ke arah sebuah negara Malaysia yang maju, didokongi oleh rakyat yang utuh perpaduannya dan tinggi martabatnya pada pandangan dunia.



• 1Malaysia mementingkan budaya kecemerlangan untuk mengubah dan membawa Malaysia ke tahap kejayaan dan pencapaian yang lebih tinggi.



• 1Malaysia bukan konsep atau formula baru. Matlamat akhir 1Malaysia, iaitu perpaduan nasional merupakan wawasan utama pemimpin-pemimpin negara yang terdahulu, yang telah diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan sepanjang lebih lima dekad Malaysia merdeka.



• Jika diamati, apa yang berubah adalah pendekatan dan gerak kerja menurut kesesuaian zaman dan generasi yang silih berganti.



• 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.



• Ia bukan satu pendekatan yang terpisah dari dasar-dasar Kerajaan sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia.


• 1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang menjadi pra-syarat bagi memastikan aspirasi negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 tercapai, jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.



• Jika "Bangsa Malaysia" yang diilhamkan melalui Wawasan 2020 adalah matlamat akhir perjalanan ini, maka 1Malaysia adalah penunjuk haluan ke arah matlamat itu.



• Pengertian ini adalah bertunjangkan hujah bahawa untuk mencapai status negara maju dalam jangkamasa yang telah ditetapkan, syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan ini akan hanya dapat dicapai apabila rakyatnya bersatu padu.



• 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.


• 1Malaysia menekankan sikap "Penerimaan" di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara. Ia adalah peningkatan ketara dari sikap toleransi semata-mata.



• Menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan.



• Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza.



• Dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.



• 1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara.


• Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh.


• Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

Ini artikel penuh yang didakwa. http://sdrkz.blogspot.com/2009/12/1malaysia-bn-tak-sama-malaysian.html

0 Selangor: Prestasi tadbir urus yang dipuji Sultan.

Kerajaan Selangor Bentuk Paradigma Baru, Sultan Sharafuddin Ucap Syabas, Tahniah
post info
By Anwar Ibrahim
Categories: Agenda Baru, Analisis, Anwar, Demokrasi, Ekonomi, Hebahan, Islam, Isu Semasa, KeADILan, Malaysia, Pakatan Rakyat, Parlimen, Penerbitan, Persidangan, Program and Selangor
30 Comments Dari TV Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri yang berjaya menunjukkan pelbagai peningkatan dalam tempoh dua tahun memerintah negeri ini.

“Beta mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua wakil rakyat kerana genap dua tahun selepas pilihan raya umum, semua Yang Berhormat bersemangat dalam memberi perkhidmatan terbaik,” titah baginda.

Baginda juga menganggap kejayaan dalam dua tahun ini ialah prestasi tadbir urus kerajaan Selangor hingga mendapat pengiktirafan Sijil Tanpa Teguran daripada Ketua Audit Negara pada tahun lalu.

Pengiktirafan itu sekali gus meyakinkan Sultan Sharafuddin bahawa kerajaan negeri pada masa ini, dapat mentadbir Selangor dengan baik.

Titah baginda, kerajaan yang baik, telus dan bertanggungjawab yang dilaungkan kepimpinan kerajaan sekali gus membentuk paradigma baru dalam menyampaikan mesej keadilan dan kesejahteraan kepada rakyat.

Baginda turut gembira kerana kebanyakan program yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dapat merakyatkan ekonomi Selangor melalui pelbagai pendekatan yang dibuat.

Antaranya ialah Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Selangor, program SPIES, pengagihan 10 peratus keuntungan kepada mereka yang berhak, pemuliharaan dan pembangunan Sungai Klang, skim pinjaman mikrokredit, pembagunan sukan melalui Majlis Sukan Negeri Selangor dan pembangunan projek teknologi.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor Kali Ke-12 pagi tadi.

Sultan Sharafuddin bertitah kepada semua wakil rakyat supaya dapat memberikan khidmat terbaik selari dengan amanah yang diberikan rakyat.

“Beta berharap Dewan ini menjadi medan terbaik untuk menyelesaikan pelbagai isu melibatkan kepentingan rakyat. Mulakanlah dengan niat untuk bekerja dengan jujur, ikhlas dan betul dan berilah kerjasama yang perlu kepada pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Datuk Abdul Khalid Ibrahim,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut bertitah segala bentuk isu peribadi akibat perbezaan politik perlu diketepikan untuk rakyat kerana mahu melihat kerajaan Selangor mendapat manfaat dan menjalankan amanah rakyat dengan cekap dan lancar.

“Beta sedar dalam politik tidak mungkin ada 100 peratus persetujuan dan memang diakui bahawa amalan check and balance perlu bagi memastikan semua kepentingan diteliti. Beta mahu semua pihak melaksanakan sistem yang ada atas landasan amanah dan bukan isu peribadi akibat perbezaan politik,” titah baginda lagi.

Tuesday, April 13, 2010

0 Isu agama. Cadangan idea belum sesuai. Wujud kebimbangan

Perak bantah badan antara agama

Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 12 April – Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak mengambil ketetapan sebulat suara membantah kelulusan Kabinet terhadap penubuhan jawatankuasa khas berhubung isu antara agama.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang melahirkan rasa kesal dan dukacita terhadap kelulusan jawatankuasa khas itu berkata, ia bukan medium yang sesuai kerana dibimbangi wujud tuntutan tidak munasabah di kalangan penganut agama lain.

“Apatah lagi kewujudannya adalah rentetan daripada kegagalan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama yang telah ditentang dan ditolak umat Islam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut Harussani menegaskan, keputusan menolak penubuhan jawatankuasa khas itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada 6 hingga 8 April lalu.

Katanya, perbincangan tentang agama Islam tidak memerlukan campur tangan bukan Islam kerana ia boleh mengundang implikasi negatif.

Menurut beliau, setiap agama yang wujud tidak boleh disamakan dengan agama Islam yang mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam (Ali Imran: 19)

“Setiap orang Islam juga berkewajipan memelihara agamanya daripada sebarang anasir yang boleh merosakkannya,” tegas Harussani.

Menurutnya lagi, walaupun sebarang bentuk rundingan atau dialog berhubung agama dibolehkan, namun ia patut dielakkan sama sekali apatah lagi jika rundingan itu dilakukan di kalangan masyarakat umum yang lebih mengundang ketidakfahaman terhadap mereka.

“Sebarang bentuk dialog yang boleh mencemar dan menjatuhkan imej dan kesucian Islam hendaklah dielakkan.

“Ia bertepatan dengan kaedah fikah itu sendiri iaitu membendung kerosakan diutamakan daripada menarik kemaslahatan,” katanya.

Jawatankuasa Fatwa, kata Harussani, juga mencadangkan supaya penubuhan jawatankuasa khas antara agama tidak sahaja dirujuk kepada Kabinet untuk tujuan kelulusan tetapi juga kepada Majlis Raja-Raja yang mempunyai kuasa tertinggi terhadap agama Islam.

Kelmarin, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa mufti dan alim ulama di seluruh negara mengeluarkan fatwa serta pandangan berhubung penubuhan jawatankuasa khas tersebut.

Menurut Perkasa, ia bimbang kewujudannya akan meletakkan agama Islam setaraf dengan agama lain sedangkan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama rasmi negara.

Jawatakuasa khas yang dipengerusikan oleh bekas Ahli Parlimen Kota Bahru, Datuk Ilani Ishak itu ditubuhkan setelah mendapat kelulusan Kabinet.

Ia bertujuan mewujudkan keharmonian dan persefahaman antara agama.

0 Kempen kitar semula. Idea yang baik!

Bangunan tiga tingkat guna 1.5 juta botol plastik


SEORANG pekerja berjalan di hadapan bangunan EcoARK yang diperbuat daripada 1.5 juta botol plastik di Taipeh. - REUTERS


TAIPEI 12 April - Sebuah syarikat Taiwan membina ruang pameran setinggi tiga tingkat menggunakan sejumlah 1.5 juta botol plastik bagi meningkatkan kesedaran terhadap kempen kitar semula, sekali gus menjadikan ia yang pertama di dunia.

Kumpulan Far Eastern, yang terkenal dengan perkhidmatan kewangan dan pembinaan, menghasilkan struktur setinggi 26 meter dan 130 meter panjang itu sejak tiga tahun lalu.

Jurubina mengambil botol-botol plastik dari tempat pembuangan sampah untuk diproses semula menjadi bekas plastik yang kukuh dan berupaya menghalang elemen-elemen seperti ribut dan gempa bumi, menurut Arthur Huang, pengarah urusan kontraktor Miniwiz Sustainable Energy Development Ltd.

Menurutnya, tiada seorang pun di dunia ini yang mampu membina ruang pameran dengan keseluruhan dindingnya diperbuat daripada botol plastik.

"Pengerusi Far Eastern sangat dedikasi apabila menyentuh mengenai isu pemeliharaan alam sekitar.

"Dia sering berkata pemeliharaan alam sekitar tidak boleh menunggu kita dan melihat usaha ini mampu dikekalkan sehingga sepuluh tahun akan datang," katanya.

Ruang pameran yang digelar EcoARK itu merangkumi amfiteater, ruang muzium dan sebuah skrin air terjun yang dikumpulkan semasa musim hujan yang digunakan untuk sistem kitaran udara.

Bekas plastik jernih di dinding membenarkan cahaya matahari masuk secara semula jadi bagi menerangi ruang pameran itu.

Menurut Huang, Far Eastern akan menyumbang binaan bernilai T$133 juta (RM13.5 juta) itu kepada bandar ini pada bulan depan untuk digunakan sebagai tempat pameran fesyen semasa pameran flora yang akan berlangsung pada November ini.

Selain itu, beliau berkata, selepas acara itu tamat, panel dinding itu akan dibuka dan dipasang semula di kawasan lain. - REUTERS

Monday, April 12, 2010

0 Al Qaedah. Indahkah melihat stadium yang penuh sesak hancur oleh bom? Alangkah indahnya jika perlawanan itu ditonton semua bangsa tanpa kejadian buruk

Pemain England jadi sasaran Al-Qaeda


2010/04/12
LONDON: Ketika kancah bola sepak Piala Dunia 2010 berbaki hampir dua bulan lagi, isu keselamatan seperti menjadi satu persoalan yang mula diragui dengan perkhabaran terkini bahawa pergerakan Al-Qaeda berikrar akan mengebom gelanggang pertandingan itu.

Ia difahamkan lebih menghala kepada sasaran ke atas pemain skuad England yang mengisi tangga teratas senarai sasaran diikuti juara bertahan, Itali, Jerman dan Perancis sehingga pihak perisikan British sudah berwaspada, lapor dua buah akhbar utama Inggeris, kelmarin. Kumpulan militan itu didakwa akan menjadikan perlawanan antara England dan Amerika Syarikat di Afrika Selatan, Jun nanti sebagai sasaran utama, sambil memberi amaran “beratus-ratus peminat bakal terkorban”. Apapun, jurucakap Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) belum mahu menekan butang kecemasan dengan perkhabaran menakutkan ini.

“Kami tidak akan mengulas mengenai sebarang ancaman ke atas Piala Dunia. Perkara sebegitu akan ditangani secara senyap-senyap tanpa didedah kepada umum,” kata jurucakap itu.

Difahamkan, ancaman itu dikeluarkan kumpulan sayap Al-Qaeda di Afrika Utara – pihak yang bertanggungjawab membunuh tebusan British, Edwin Dyer, 61, di Mali, tahun lalu selepas kerajaan British enggan membebaskan Abu Qatada, orang kanan Osama Laden di Eropah.

Ancaman berkenaan dikatakan tampil di laman web berkaitan Al-Qaeda yang menyebut: “Alangkah indahnya jika perlawanan antara England dan AS yang disiarkan secara langsung dan ditonton beribu stadium, diiringi bunyi letupan bom yang menghancurkan tempat duduk penonton.” – Agensi

0 Produksi filem untuk kemajuan di Sabah. Tapi bukan murah kan?




Bagaimana jika Sabah seperti Benitez untuk produksi filem Sabah? Minta RM100j, bagaimana?

Tajuk:
Benitez mohon RM330j mantapkan cabaran Liverpool

2010/04/12
LIVERPOOL: Rafael Benitez sudah membuat rayuan kepada pemilik Liverpool untuk memberinya £60 juta (kira-kira RM330 juta) untuk memantapkan cabaran pasukan bimbingannya itu menguasai semula pentas domestik dan Eropah.

Pengurus berasal dari Sepanyol itu membuat pengakuan betapa dia memerlukan tiga pemain bertaraf dunia andai The Reds mahu bersaing dengan Chelsea, Manchester United dan Arsenal. “Harga bagi setiap pemain ternama adalah sekitar £20 juta (RM110 juta). Saya rasa kami perlu tiga bintang ketika ini. “Saya rasa kami boleh menjadi mantap tapi ia bergantung kepada pembelian tepat dan ia adalah mudah mendapatkan pemain tambahan dengan wang banyak.

“Adalah bukan mudah untuk kami bersaing bagi pemain. Kami harus melakukan hampir segalanya secara sempurna.

“Orang akan berbicara mengenai pemain ini dan itu tetapi apa yang penting menggabungkan dengan baik kerana jika anda tidak ada RM330 juta setiap tahun anda harus jual.” - Agensi




Paparan berkenaan Liverpool. Tidak pula sangka ada rentetan cerita begini. Baca seterusnya dibawah:


Liverpool akan dijual untuk langsai hutang


GILLETT (kiri) dan rakan kongsinya, Tom Hicks membuat keputusan untuk menjual keseluruhan saham mereka dalam kelab Liverpool.

--------------------------------------------------------------------------------


LONDON - Liverpool akan dijual dengan harga £600 juta (RM2.9 bilion). Pemilik bersama dari Amerika Syari- kat, Tom Hicks dan George Gillett telah mengambil langkah awal untuk menjual kelab Merseyside itu.

Mereka telah melantik sebuah bank pelaburan, Barclays Capital untuk mencari pelabur yang berpotensi menyelesaikan krisis kewangan di Anfield.

Buat kali pertama kedua-dua pemilik itu menjelaskan bahawa mereka akan menjual kelab itu dengan harga yang sepatutnya.

Usaha ini pastinya melegakan pengurus The Reds, Rafael Benitez yang sebe- lum ini sedar bahawa rancangannya untuk membeli pemain baru tersekat oleh hutang £237 juta (RM1.2 bilion) yang dihasilkan oleh pemilik kelab tersebut.

Royal Bank of Scotland yang memberi pinjaman kepada Hicks dan Gillet, mendesak agar mereka mengurangkan hutang sebanyak £100 juta (RM490 juta) sebelum bulan Julai depan.

Terdahulu, pemilik bersama dari Amerika itu telah pun menolak tawaran sekitar RM490 juta tersebut oleh The Rhone Group.

Benitez pula kelmarin memberitahu bahawa beliau memerlukan dana £60 juta (RM294 juta) pada musim panas ini bagi memperkuatkan cabaran Liverpool dalam memenangi sebarang kejuaraan.

Pengurus dari Sepanyol itu menyuara- kan kebimbangannya terhadap reputasi The Reds yang semakin tenggelam seki- ranya tidak membawa tiga pemain berkelas dunia sebagai tambahan kepada perancang Serbia, Nikola Jovanovic yang dibeli secara percuma.

Liverpool kini ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu Liga Perdana England, Chelsea dan empat mata di bela- kang Manchester City dalam perebutan slot terakhir ke Liga Juara-Juara.

Benitez yang menjadi perhatian Juventus ketika ini berkata: "Kami memerlukan tiga atau empat pemain lagi. Harga bagi seorang pemain bertaraf dunia ialah sekitar £15 hingga £20 juta (RM73 hingga RM97.9 juta), jadi kamu boleh kira sendiri berapa kos yang diperlukan."

Penyerang Atletico Madrid, Diego Forlan yang akan berdepan Liverpool dalam kempen Liga Europa, serta perancang Valencia, David Silva merupakan antara pemain yang menjadi pilihan Benitez.

Pengurus dari Sepanyol itu juga tidak mahu kekal di Anfield sekiranya pemain bintang seperti Fernando Torres dan Steven Gerrard dijual.

Begitupun beliau sanggup melepaskan pemain lain seperti Ryan Babel, Albert Riera dan Alberto Aquilani. - Agensi

Sunday, April 11, 2010

0 Nahas udara: Maut mengejar. Lima cerita sebelum nahas

Presiden Poland, isteri maut nahas udara



GAMBAR pada 2007 menunjukkan Kaczynski dan isteri, Maria pada satu majlis rasmi yang dihadirinya di Amerika Syarikat.



VISUAL televisyen Rusia yang menyiarkan bangkai pesawat Tupolev Tu-154 yang terhempas di Smolensk semalam.


SMOLENSK - Presiden Poland, Lech Kaczynski, 60, terbunuh apabila pesawat Tupolev Tu-154 yang dinaiki beliau terhempas dekat sebuah bandar Rusia di sini semalam dalam nahas yang juga meragut nyawa kesemua 132 penumpang dan anak kapal.

Turut maut ialah isterinya, Maria, 66, dan beberapa pegawai kanan kerajaan termasuk gabenor bank pusat, Slawomir Skrzypek, 46, ketua angkatan tentera, Jeneral Franciszek Gagor, 58, dan Timbalan Menteri Luar Poland, Andrzej Kremer, 48.

Mereka dalam penerbangan ke Katyn dekat sini untuk menghadiri majlis memperingati ribuan rakyat Poland yang ketika itu menjadi mangsa pembunuhan kejam pemimpin Kesatuan Soviet, Josef Stalin pada musim bunga 1940.

Pesawat itu terhempas kira-kira pukul 11 pagi waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia) sebelum mendarat hampir dua kilometer di lapangan terbang Smolensk, 782 kilometer dari Warsaw, ibu negara Poland, dan 360 kilometer dari Moscow.

Gabenor wilayah Smolensk, Sergei Antufyev ketika bercakap kepada sebuah stesen televisyen Rusia mengesahkan tiada mangsa yang terselamat dan perkara tersebut turut disahkan oleh agensi berita rasmi Poland, PAP di Warsaw.

Televisyen tempatan menyiarkan visual beberapa serpihan bangkai pesawat buatan Rusia berusia 20 tahun itu terbakar dan bertaburan di sebuah hutan manakala siasatan awal menunjukkan nahas berpunca akibat kecuaian juruterbang.

Ekoran tragedi malang itu, speaker dewan rendah Parlimen Poland, Bronislaw Komorowski, mengikut perlembagaan mengambil alih jawatan sebagai presiden buat sementara waktu sehingga pemilihan rasmi yang baru dilakukan. - Reuters

Ini artikel berkaitan:


Pernah lima kali nyaris terbunuh

WARSAW - Presiden Lech Kaczynski pernah lima kali nyaris maut apabila pesawat rasmi beliau mengalami masalah yang menyebabkan pemimpin Poland itu terpaksa menggunakan pesawat komersial.

Agensi berita Rusia RIA Novosti melaporkan antara insiden itu termasuk pada 2 Disember 2008 apabila pesawat TU-154 menghadapi kerosakan di Mongolia dan beliau terpaksa menaiki pesawat lain untuk ke Tokyo.

Tiga hari kemudian, Kaczynski terbang dari Tokyo menuju ke Seoul, Korea Selatan dan sekali lagi pesawat mengalami kerosakan enjin.

Pada 14 Januari 2009, beliau menanggung malu apabila pesawat rasmi presiden tersebut lambat berlepas kerana enjin beku menyebabkan Kaczynski lewat menemui rakan sejawatannya, Presiden Ukraine ketika itu, Viktor Yushchenko.

Namun, lebih memalukan pada September 2009, kedua-dua pesawat rasmi kerajaan Poland rosak secara serentak mengakibatkan Kaczynski menaiki pesawat komersial untuk lawatan rasmi ke Amerika Syarikat. - Agensi

Artikel susulan:


Juruterbang ingkar arahan punca nahas


2010/04/12
Pesawat bawa Presiden Poland alami masalah mekanikal

WARSAW: Poland mengalami tragedi terburuk dalam sejarahnya kelmarin selepas juruterbang tidak mengendahkan amaran supaya tidak mendarat dalam keadaan kabus tebal menyebabkan presiden dan berpuluh-puluh orang ternama lain terkorban dalam nahas kapal terbang di Russia. Presiden Lech Kaczynski, 60, isterinya Maria, seorang pakar ekonomi dan 95 yang lain maut dalam perjalanan memperingati tragedi pembunuhan beramai-ramai 22,000 tahanan Poland yang dibunuh polis rahsia diktator Josef Stalin pada 1940 di Katyn. Juruterbang berusia 20 tahun itu sepatutnya beralih haluan seperti dinasihatkan selepas gagal mendarat sekurang-kurangnya sekali apabila terlanggar pokok dan terjunam ke kawasan hutan.

Pengawal trafik udara memerhatikan radar dalam suasana tegang ketika pesawat Tupolev buatan era Soviet cuba mendarat dalam keadaan berkabus di landasan tentera lapangan terbang Smolensk di barat Russia.

Pengawal udara sudah mengeluarkan beberapa amaran supaya tidak cuba mendarat kerana tahap penglihatan hampir kosong. Mereka mahu pesawat kembali ke Moscow atau Minsk, ibu kota Belarus.

Namun, pesawat yang membawa delegasi presiden Poland bagi memperingati pembunuhan beramai-ramai pegawai tentera Poland oleh Soviet di hutan Katyn, tidak mempedulikan amaran itu.
Stesen televisyen Russia Today dan stesen lain melaporkan, sebelum cubaan pertama untuk mendarat, juruterbang didapati membuang bahan api, menunjukkan pesawat menghadapi masalah mekanikal. – Agensi

0 Isu Allah. Jika dari awal lagi mereka berpendirian seperti kita sudah tentu mereka sudah Islam

Tuesday, January 26, 2010

BEZA PAS DAN UMNO DALAM ISU ALLAH
OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Saya ingin mulakan tulisan ini dengan mengucapkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah di atas istiqamahnya pendirian Tuan Guru Presiden PAS yang secara jelas menyatakan bahawa Islam tidak melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama lain .

Ustaz Hadi menyatakan “ kita tidak boleh melarang mereka ( bukan Islam ) dari menggunakan nama Allah meskipun Allah bagi mereka bukan seperti yang kita yakini iaitu Tuhan yang Esa.” Bagi saya sikap Tuan Guru Presiden ini melambangkan konsistennya budaya PAS iaitu ilmu mendahului emosi, kebenaran mendahului perasaan.

Jika emosi yang menjadi sandaran pegangan PAS sudah tentu PAS boleh dengan mudah mengerahkan para penyokongnya dan umat Islam negara ini mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi menentang keputusan Yang Arif Hakim Lau Bee Lan yang membenarkan akhbar Herald menggunakan kalimah Allah di dalam edisi melayu akhbar tersebut.

Namun, tidak seperti Umno , PAS tidak membuat sesuatu pendirian berdasarkan emosi. Bagi PAS jika ajaran Islam membenarkan kalimah Allah digunakan oleh mana-mana manusia di dunia ini maka itu jugalah pendirian parti Islam ini. Ya, mungkin mudah sahaja pendirian seperti ini dimanipulasi oleh mereka yang ingin memanipulasi. Bagi golongan “muta’asibin ( yang taksub ) pendirian PAS ini dianggap satu pendirian yang lunak dan lembut dan sekadar ingin menjaga hati para pengundi bukan Islam.

PAS peka mengambil pendirian sepertimana yang PAS ambil akan mengundang persepsi seperti itu apatah lagi sejak awal Umno memang tidak pernah bercita-cita untuk mendidik rakyat untuk memahami isu ini menurut perspektif yang betul baik perspektif Islam atau perspektif Perlembagaan.

PAS melihat isu ini dari sudut keadilan. Keadilan adalah bersifat mutlak dalam Islam. Ianya bermakna keadilan mesti dilakukan dalam apa juga keadaan dan kepada mana-mana orang. Kehebatan ajaran Islam tentang perspektif keadilan terserlah apabila ia mengarahkan keadilan itu ditegakkan walaupun ke atas musuh. Permusuhan atau perseteruan tidak boleh menjadi alasan untuk mengkrompomi keadilan. Kesediaan Rasullulah s.a.w memotong tangan puteri kesayangannya sendiri jika Fatimah terbukti mencuri memperlihatkan betapa tingginya nilai keadilan yang Islam perjuangkan.

Siapa tidak kenal kebobrokan bangsa Yahudi. Apa yang tidak dilakukan oleh orang Yahudi ke atas para Nabi termasuk Nabi Muhammad s.a.w. Namun tidakkah kita sedar asbabun nuzul ( sebab turun ayat ) surah Al-Nisa ayat 105 menunjukkan bagaimana Islam membebaskan tuduhan ke atas orang Yahudi yang dianiyai dengan tuduhan palsu oleh orang Islam sendiri. Tu‘ma ibnu Ubayriq , seorang Islam yang mencuri baju besi tetapi kemudiannya meletakkan baju curi tersebut di rumah orang Yahudi. Meskipun Tu’ma bersumpah dengan nama Allah bahawa dia tidak mencuri dan menuduh orang Yahudi itu yang mencuri dan dalam keadaan kaum Tu’ma meminta Rasulullah s.a.w membela Tu’ma namun ayat Allah membebaskan bangsa Yahudi yang dianiyai itu.

Jika emosi dan taksub menjadi taruhan dan sandaran sudah tentu orang Islam yang dibela ( kerana seagama ) dan Yahudi ( berlainan agama dan zalim dengan orang Islam ) dibiarkan terbiar dianiaya.

Tetapi itulah Islam. Keadilannya merentasi garisan perkauman dan keagamaan.

Dalam konteks keadilan itulah PAS mengambil keputusan bahawa adalah tidak adil kita melarang orang Kristian dari menggunakan kalimah Allah. Ada hujah yang menyatakan bahawa Allah bagi orang Kristian tidak sama dengan Allah menurut fahaman orang Islam. Jawab PAS betullah tu. Jika dari awal lagi mereka berpendirian seperti kita sudah tentu mereka sudah Islam.

Sebab itu para Rasul diutuskan untuk berda’wa kerana disamping manusia yang kafir mentauhidkan Allah dalam konteks RububiyyahNya iaitu meyakini Allah sebagai Rabb ( Pentadbir / Penjaga ) alam semesta ini mereka tidak mengesakan Allah yang sama sebagai Tuhan yang selayaknya disembah.

Apabila Hakim Lau Bee Lan menyatakan bahawa Allah bukan ekslusif untuk orang Islam sahaja , dari segi Islam di mana silapnya ? Sepertimana kata Yusuf Al-Qardhawi sebaik sahaja kita buka Al-Quran dan membaca Al-Fatihah kita sudah disajikan dengan kalimah “Allahu rabb al-‘alamin” bukan Rabb Al- Muslimin au Rabb al-masihiyyin . Jika dari segi Islam tidak salah adilkah kita untuk menyatakan ianya salah hanya kerana yang menggunakan kalimah itu adalah orang Kristian.

Dalam penghakimannya Hakim Lau Bee Lan menyatakan “adalah tidak munasabah dan tidak rasional bagi pihak KDN kerana dalam satu masa tidak melarang perhimpunan Gereja Katholik menggunakan kalimah Allah dalam ibadat mereka dan aktiviti keagamaan mereka tetapi dalam masa yang sama kalimah yang sama tidak boleh digunakan dalam penerbitan yang tujuannya membantu pengganut Kristian dalam ibadat dan aktiviti keagamaan mereka. Secara jujur saya setuju dengan alasan Hakim itu. Kenapa adanya sikap double standard di situ ?

Siapa yang membaca kesemua 57 mukasurat penghakiman Hakim Lau Bee Lan akan tentu terkejut apabila para peguam akhbar the Herald membangkitkan secara terperinci bersama-sama bukti dokumentari bagi menunjukkan bahawa kalimah Allah telah lama digunakan oleh orang Kristian, peguam KDN dikatakan tidak langsung menyangkal hal tersebut.

Sebagai contoh peguam Herald menyatakan sudah 15 abad Kristian dan Arab Muslim telah menggunakan kalimah Allah bagi merujuk Tuhan yang Esa. Bahasa melayu telah menjadi Lingua Franca kepada penganut Katolik sejak berkurun-kurun khususnya yang tinggal di Melaka dan Pulau Pinang dan telah mengamalkan dan ber”sembahyang” dalam bahasa Melayu.Kalimah God telah diterjemah sebagai Allah dalam “Istilah Agama Kristian Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia” yang diterbitkan pertama kali oleh Catholic Bishops Conference of Malaysia pada tahun 1989 . Kamus Melayu-Latin yang diterbitkan sejak tahun 1631 telah menterjemah perkataan “Deus” (Kalimah Latin untuk God ) sebagai “Alla” dalam terjemahan Melayu. Dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia, kalimah “Allah” telah digunakan secara terus menerus dalam edisi Matthew’s Gospel di Malaysia pada tahun 1629 dan dalam Bible Melayu pertama yang lengkap pada tahun 1733 dan Bible Melayu yang Kedua Lengkap
pada tahun 1879 sehingga sekarang .

Munshi Abdullah yang dianggap bapa kesusasteraan Melayu telah menterjemah Gospels ke dalam Bahasa Melayu pada tahun 1852 dan beliau telah terjemah perkataan “God” sebagai “Allah”. Telah ada Bible yang diterjemah ke dalam Bahasa Melayu yang wujud sebelum 1957 yang mana terjemahannya telah dibuat oleh British and Foreign Bible Society di mana kalimah “Allah” telah digunakan .

Apabila peguam KDN tidak menyangkal dan mempertikaikan fakta-fakta di atas mengapa kita harus marah apabila Mahkamah memutusakn bahawa ia tidak ada pilihan selain menyatakan bahawa kenapa dengan tiba-tiba sahaja kalimah Allah kini tidak boleh digunakan oleh Herald ?

Perlukan saya beritahu KDN bahawa di dalam perbicaraan Mahkamah kaedah yang dipakai adalah “ apabila sesuatu fakta itu tidak disangkal ianya dikira dipersetujui atau diterima.”
posted by hanipamaidin @ 4:01 AM

Sumber:
http://peguampas.blogspot.com/2010/01/beza-pas-dan-umno-dalam-isu-allah.html

0 Buku Teks vs Filem Kita. Mari sokong filem yang ada isi. Mari hasilkan skrip bermutu tinggi! Bagaimana dengan bajet tayang?

ARKIB : 04/04/2010

Banyak teks layak difilemkan

Oleh A. Rahim Abdullah

DALAM eseinya (Mingguan Malaysia, 7 Mac 2010)Ku Seman Ku Hussain menulis tentang sepuluh sasterawan kita diangkat ke taraf Sasterawan Negara (SN), tetapi siapa yang betul-betul memanfaatkan karya-karya sastera mereka itu? Kenapa karya-karya yang penting itu juga tidak dapat difilemkan? Dr. Mawar Shafie (Mingguan Malaysia, 21 Mac 2010) pula cuba mengaitkan keperluan sastera dan hubungannya dengan bidang-bidang lain.

Yang ingin disebut dalam tulisan ini ialah kenapa penerbit dan pengarah filem Melayu, tidak pernah menjenguk karya-karya besar SN kita? (kecuali Jamil Sulong yang mengarahkan filem Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad pada dekad 1980-an).

masyarakat sudah muak dengan cerita-cerita murahan, rempit, dadah, lumba kereta haram dan dunia hantu.

Dengan kata lain, filem kita lemah kerana tidak ada isi. Adakah penulis filem kita tidak tahu menulis cerita? Atau kerana mereka tidak menguasai teknik penulisan? Apakah benar, isi cerita tentang perjuangan besar bangsa Melayu dalam membangun negara bangsanya, tidak mampu dihasilkan oleh pengarang kita? Selama manakah kita sedia disogok dengan cinta monyet?

Kalau Ku Seman memberi contoh, dan bertanya tak adakah karya SN yang layak difilemkan seperti Hujan Pagi karya A Samad Said, jawabannya memang ada. Novel Hujan Pagi itu adalah dunia percaturan politik dan kewartawanan Melayu yang cukup hebat ditelanjangi Samad dalam konteks dunia surealisme-magis. Kejadian dalam Hujan Pagi itu juga masih berlaku dan amat relevan dengan dunia 1Malaysia hari ini!

Kalau kita ingin meneliti karya SN yang sesuai diadaptasi untuk penerbitan filem, ia bermula dengan karya-karya Keris Mas. Dalam hal ini, saya lebih menyenangi novel kedua beliau: Korban Kesuciannya. Walaupun ada orang menunjuk kepada Saudagar Besar dari Kuala Lumpur, kerana novel itu semacam sebuah propaganda dan antiplot atau antithesis yang kini mungkin ketinggalan zaman, kerana DEB pun akan berkubur?

Novel Korban Kesuciannya padat dengan pemikiran besar pembangunan minda wanita Melayu dengan latar zaman 1930-an dan 1940-an. Keris Mas menulisnya dengan teknik pengembangan plot yang mudah bagi keperluan memindahkannya ke lakon-layar. Teks itu terhasil dalam kondisi yang amat romantik, baik dari segi bahasa mahupun mesej yang dihasratkan pengarang tatkala zaman remajanya (dalam usia 26 - 27 tahun).

Dalam banyak novel Shahnon Ahmad, Ranjau Sepanjang Jalan dan Rentong telah dipindahkan ke dalam drama TV swasta sebelum ini. Saya tertarik dengan Seluang Menodak Baung dan Al-Syiqaq 1. Malahan Al-Syiqaq 1 pernah dicadangkan pada akhir 1990-an dulu untuk difilemkan. Saya sendiri diminta membuat treatment dan sinopsisnya, tetapi hasrat tersebut mati begitu sahaja, kerana taukenya barangkali tidak cukup modal. Al-Syiqaq 1 yang sangat sarat isi tentang pemikiran dan perkembangan Islam di negeri ini akan sama tarafnya dengan novel The Roots karya Alex Haley yang turut difilemkan. Malahan Allahyarham Dr. Anuar Nor Arai pernah berkata kepada saya awal 1990-an dulu, 'jangan sesiapa mengusik Al-Syiqaq 1', kerana beliau sedang mengerjakan skrip atau lakonlayarnya!

kebijaksanaan

Seluang Menodak Baung selain mengajar kita tentang kebijaksanaan dan membentuk manusia menjadi lebih manusiawi, juga sebuah naratif yang dipenuhi tanda-tanda, dan kesan kejiwaan yang tidak mustahil berlaku dalam dunia bangsa Melayu masakini. Ini kerana kemiskinan, kehilafan dan kecurangan politik dan pihak penguasa, menyebabkan pemberontakan massa akan meletus bila-bila sahaja!

Idea yang sama juga terdapat dalam Tunggul-tunggul Gerigis, di mana akibat perbezaan fahaman politik, orang Melayu sanggup bergaduh sesama keluarga, sama sekampung, dan akhirnya siapa yang untung? Banyak lagi karya cerpen Shahnon yang menjanjikan kesan senario yang halus apabila ada penulis naskah yang bijak menanganinya.

Menoleh kepada karya Usman Awang, oleh kerana novelnya sebuah sahaja, Tulang-tulang Berserakan, memang wajar difilemkan, selain banyak lagi karya dramanya seperti Muzikal Uda dan Dara. Novel-novel A Samad Said seperti Salina dan Sungai Mengalir Lesu telahpun dipentaskan, sama dengan Wira Bukit dan Lantai T Pinkie. Sementara Di Mana Bulan Selalu Retak yang pada dekad 1960-an dianggap memiliki avant-garde itu wajar jika difilemkan bersama teks Langit Petang (versi baharu), Hujan Pagi, Daerah Zeni dan Cinta Fansuri.

Novel-novel trilogi Arena Wati sangat padat dan memerlukan penulisan naskah lakon-layar yang berhemat, sejajar dengan falsafah dan visi Melayu Nusantara yang cuba dilebarkan oleh SN ini ke taraf global. Bermula dengan Gelora ataupun Sandera, teks itu sangat menarik dan memakan biaya yang sangat besar tuntuk memilemkannya. Apatah lagi jika autobiografi seperti Enda Gulingku atau Sudara hendak diterbitkan dalam medium filem.

Kalau pihak berwajib seperti FINAS misalnya, yang mahu menyokong gagasan 1 Malaysia, kita tidak boleh menolak Interlok, salah sebuah masterpiece Abdullah Hussain! Inilah novel terawal Melayu yang memanifestasikan gagasan perpaduan, dan kewajiban semua rakyat yang mengaku taat setia kepada Malaysia.

Novel Juara karya S Othman Kelantan telahpun dipindahkan ke layar perak oleh Uwei Shaari. Masih banyak novel S Othman yang sesuai dikerjakan lagi seperti Pengertian, Angin Timur Laut, Ruang Perjalanan, Wajah Seorang Wanita, Perwira dan Ustaz, harus berani kita bawa ke dunia Melayu dan Nusantara.

Selain Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, Arus dan Naratif Orgosonto, penting untuk kita mengenal mitos Melayu moden, baik dalam dunia politik mahupun sosiobudaya, di samping cerpen dan beberapa buah drama Anwar Ridhwan lainnya, yang sangat sesuai dipindahkan ke filem. Jadi kita tidak kekurangan bahan yang mempunyai isi yang kukuh mengenai perjuangan bangsa yang besar dan perlu dipaparkan dalam layar lebar.

Kalau kita menoleh kepada perkembangan filem di Indonesia misalnya, penulis, penerbit dan pengarah di sana lebih terbuka minda dan kreativiti mereka. Bukan novel, malahan bahan daripada dua tiga rangkap puisi pun boleh diadaptasi ke layar perak. Usaha dan kreativiti yang dilakukan Asrul Sani (sasterawan Angkatan 45) yang mengangkat puisi-puisi Chairil Anwar (sahabatnya) dan lain-lain karya sasterawan bangsanya menjadi filem yang baik aspek estetiknya, seperti Cintaku Jauh di Pulau (1971). Asrul juga memindahkan novel Salah Asuhan ke filem (1974), Sitti Nurbaya dan Bulan di Atas Kuburan (1976), Di Bawah Lindungan Ka'bah (1978), dan Sengsara Membawa Nikmat.

Kalau Mawar Shafie mencadangkan teks Hikayat Malim Deman dan karya trilogi Dr. Rahmat Haroun Hashim sebagai teks yang mempunyai potensi ditransformasi ke filem, saya mencadangkan pula Hikayat Terong Pipit yang kaya sifat makarnya dan ilmu perang Melayu itu, tentu tidak kalah dengan Lord of the Ring, ataupun siri filem Star Wars.

0 Jurugambar Reuters terbunuh. Inilah risiko wartawan, sanggupkah anda jadi wartawan di lokasi bergolak?

Jurugambar Reuters terbunuh dalam rusuhan di Bangkok
11/04/2010 3:12am


BANGKOK 11 April - Hiro Muramoto, jurugambar agensi berita Reuters dari Jepun terbunuh akibat terkena tembakan ketika berlaku rusuhan antara pasukan keselamatan dan kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan di tengah Bangkok semalam, lapor media.

David Schlesinger, Ketua Pengarang Reuters yang memetik kenyataan pengarah hospital di mana mangsa ditempatkan berkata, peluru yang menusuk dada Muramoto terkeluar di bahagian belakangnya.

“Kematian Muramoto dalam rusuhan yang berlaku di ibu kota Bangkok benar-benar mengejutkan dan menyedihkan seluruh warga di Reuters,” katanya dalam satu kenyataan.


Muramoto antara mangsa dalam rusuhan penunjuk perasaan antikerajaan Baju Merah yang bertempur dengan pasukan keselamatan dengan jumlah kematian kini telah meningkat kepada 15 orang.

Mereka yang terbunuh termasuklah 11 orang awam dan empat pasukan keselamatan.

Manakala lebih 680 orang lagi cedera terkena tembakan peluru getah dan gas pemedih mata yang dilepaskan oleh pasukan keselamatan dalam usaha menangani rusuhan politik terburuk Thailand sejak tahun 1992.

Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva menyampaikan ucapan takziah kepada semua mangsa, tetapi enggan tunduk kepada tekanan penunjuk perasaan yang mahu beliau meletakkan jawatan.


“Saya dan kerajaan yang dilantik akan terus berusaha menangani masalah yang berlaku,” katanya dalam televisyen yang disiarkan ke seluruh negara.

“Sekarang tentera telah menghentikan operasi dan kumpulan penunjuk perasaan mesti segera berundur dari kawasan yang mereka duduki,” katanya. - AFP

0 Kemiskinan mempengaruhi mas kahwin. Apakah kes ini ini satu kebetulan?

Budak mati selepas empat hari kahwin


2010/04/10
Kecederaan di kemaluan, pendarahan dipercayai punca kematian pengantin baru Yaman

SAN’A: Seorang budak perempuan Yaman berusia 13 tahun meninggal dunia kerana mengalami kecederaan di kemaluannya selepas empat hari berkahwin. Amalan gadis berkahwin pada usia muda berleluasa di Yaman dan mendapat perhatian kumpulan hak asasi antarabangsa yang cuba mendesak kerajaan melarang perkahwinan kanak-kanak. Peraturan yang mengharamkan mereka berusia di bawah 17 tahun berkahwin dilihat serius selepas mendapat bantahan kuat beberapa pemimpin Islam berpengaruh di Yaman.

Budak berusia 13 tahun dari wilayah Hajja di barat laut ibu negara itu mati pada 2 April lalu, kira-kira empat hari selepas beliau dikahwinkan oleh keluarganya dengan seorang lelaki berusia 23 tahun, kata Majed al-Madhaji, jurucakap pergerakan ‘Sisters Arab Forum for Human Rights’.

Satu laporan perubatan dari Hospital al-Thawra berkata kemaluan budak berkenaan koyak selain mengalami pendarahan teruk. Pihak berkuasa sudah menahan suami mangsa.

Kumpulan hak asasi tempatan berkata, budak perempuan terbabit berkahwin dalam satu perjanjian membabitkan dua lelaki untuk saling mengahwinkan adik mereka bagi mengelak bayaran mas kahwin berlebihan. Mereka berkata, ia perkara biasa di negara miskin itu.
Masalah kemiskinan di Yaman menghalang usaha untuk menghapuskan amalan itu kerana kebanyakan keluarga miskin mendapati sukar untuk menolak mas kahwin beratus dolar bagi anak perempuan mereka.

Lebih suku wanita Yaman berkahwin sebelum usia 15 tahun, menurut laporan Kementerian Hal Ehwal Sosial, tahun lalu.

Adat resam turut memainkan peranan termasuk kepercayaan bahawa pengantin perempuan muda boleh dibentuk untuk menjadi seorang isteri yang patuh kepada suami, mempunyai ramai anak dan menghalang zina. – AP

Thursday, April 08, 2010

0 MEB? Mari masuk gelanggang bola jangan hanya jadi penonton

MEB: Salah sendiri jika gagal





UTUSAN : Bagaimana Datuk melihat MEB secara keseluruhannya?

AZMAN : Secara umumnya ia merupakan satu pelan yang bagus kerana ia telah dibuat berdasarkan pandangan ramai pihak. Terdapat ahli pemikir, ahli perniagaan, ahli politik dan pegawai kerajaan yang terlibat. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan kerana mereka berasal dari latar belakang yang berbeza tetapi mereka juga telah diberi peluang untuk didengari. Apa yang dinyatakan Perdana Menteri itu adalah satu rangka kerja yang cemerlang dan ia perlu dilakukan. Masa untuk bercakap sudah berlalu dan sudah sampai masa untuk membuat kerja. Apa yang berlaku sekarang adalah berbeza kerana sekarang apa yang berlaku di seluruh dunia turut sama menjejaskan kita tidak seperti dulu.

Saya terlibat dalam perniagaan perhotelan dan secara langsung saya banyak mengembara dan melihat pembangunan yang berlaku di seluruh dunia. Semua negara turut terasa kesan kemelesetan ekonomi dan semua mereka mahu memenangi perlumbaan untuk meningkatkan ekonomi. Namun persoalannya bagaimana kita perlu pantas memenangi perlumbaan itu dan dan semua ini tertumpu kepada bagaimana kita melakukan perubahan dalam ekonomi negara. Jika kita terlambat atau buat tidak tahu kita hanya boleh menyalahkan diri kita. Kalau dibuat perbandingan Indonesia lebih baik ekonominya berbanding kita dan saya melihat hotel saya di sana lebih baik perniagaannya dari hotel di sini. Jadi kita kena peka tentang semua ini. Memang banyak pembangunan yang telah berlaku di negara ini sejak 30 tahun lalu namun negara-negara lain seperti Filipina dan Vietnam juga semakin membangun seperti kita. Oleh itu pendekatan yang digunapakai tidak lagi sesuai dengan 30 tahun lepas dan seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri sektor swasta yang akan memacu ekonomi negara.

Dari sudut majikan mampukah kerajaan mencapai negara berpendapatan tinggi dengan gaji yang disasarkan?

Insya-Allah, kita boleh. Jika kita melihat kepada keadaan sekarang gaji pekerja kita adalah sekitar AS$7,000 (RM23,100) setahun dan untuk mencapai sasaran sekali ganda gaji dalam tempoh 10 tahun, banyak perkara yang perlu dilakukan. Mungkin yang menjadi masalah ialah dalam 10 tahun ia merupakan satu tempoh yang pendek. Kalau kita mencapai sasaran itu mungkin negara lain juga akan mencapai perkara yang sama. Dan mungkin apa yang dicapai kita lebih kurang sama dengan negara-negara lain. Memang dari segi sasaran kenaikan gaji ini boleh dicapai dan rekod telah menunjukkan. Namun kita juga perlu berusaha untuk mencapai lebih dari apa yang disasarkan dalam tempoh 10 tahun itu.

Kita perlu berusaha untuk mencapai bukan sahaja gaji tetapi ekonomi yang lebih baik dari negara-negara jiran supaya kita sentiasa mendahului. Namun ini memerlukan usaha yang berganda bukan sahaja dari pihak kerajaan tetapi juga majikan dan masyarakat secara umumnya. Kalau dahulu jika kerajaan membuka tanah baru atau membuka kilang, kita boleh mencapai sasaran yang dikehendaki dengan mudah namun keadaan kini jauh berbeza. Perancangan sekarang perlu melihat kepada keadaan ekonomi dunia. Contohnya, jika ekonomi di Britain meningkat sebaiknya kita perlu melabur di sana tetapi jika ekonominya kurang baik kita perlu mencari alternatif lain seperti di negara Asia Tengah atau di China. Jika dahulu kita mengeksport ke sana dan boleh mencapai sasaran namun keadaan sekarang berbeza. Kita tidak boleh bergantung kepada hanya satu dua pasaran sahaja dan kena cari alternatif. Kita kena berubah jika mahu mencapai sasaran dan terus bernafas dalam industri atau perniagaan yang diceburi.

Bila naik gaji bukankah ia sedikit sebanyak membebankan majikan secara tidak langsung.?

Dalam isu gaji ini kita tidak boleh memisahkan dengan soal produktiviti. Ini kerana jika kita berterusan bergantung kepada undang-undang di Malaysia dalam soal gaji minimum, ia masih boleh diperdebatkan. Kalau syarikat tidak boleh membuat keuntungan kita tidak boleh memberi gaji yang besar. Kalau pekerja tidak menyumbang kepada produktiviti dan tidak mahu berusaha lebih untuk memajukan syarikat, bagaimana syarikat hendak bayar lebih. Malah syarikat akan terjejas kerana tidak boleh menampung gaji pekerja yang tidak produktif. Tapi jika pasaran boleh menjadi lebih fleksibel maka majikan boleh terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan lain.

Tapi jika kita bercakap mengenai soal taraf hidup yang tinggi kita kena bersyukur bahawa dalam banyak perkara kerajaan banyak memberi bantuan dalam bentuk subsidi kepada masyarakat. Maka ia bukan masalah besar kepada rakyat kerana jika dibandingkan dengan negara-negara lain masyarakat negara ini lebih baik. Tapi kita tetap tidak boleh bergantung kepada wang gaji rendah seperti sekarang. Perubahan dalam soal ini perlu melibatkan semua pihak namun ia tidak boleh berlaku dalam tempoh yang singkat. Biar ia menjadi lebih fleksibel. Itu masalah kita yang paling besar sekali. Kita perlu mengurangkan kos produksi namun pada masa yang sama menzahirkan kualiti yang tinggi.

Kalau kita lihat pada pihak yang mahu melabur di Malaysia sekarang mereka bukan melihat kepada pekerja murah tetapi kualiti pekerja, teknologi dan produk yang dihasilkan. Ambil contoh produk berteknologi tinggi seperti tenaga solar, mereka melihat kepada kualiti teknologi dan pekerja kita. Namun negara masih mempunyai kualiti yang diperlukan oleh pelabur yang mahu melabur berbilion dolar antaranya kerajaan yang stabil, kemahiran pekerja yang tinggi serta tahap penguasaan bahasa Inggeris pekerja kita yang baik berbanding mereka di Vietnam dan sebagainya.

Dari segi gaji, jika kita mendapat keuntungan yang lumayan pastinya kita mahu menjaga kebajikan pekerja kita. Namun dalam proses untuk mendapat gaji yang lebih tinggi kita perlu bergerak ke arah ekonomi yang lebih terbuka kerana keadaan ekonomi semasa memerlukan kita pergi ke peringkat lebih jauh dan pada masa sekarang dunia itu sendiri adalah padang permainannya.

Salah satu perkara yang dinyatakan oleh Perdana Menteri ialah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?

Kategori pekerja asing ini pelbagai. Namun ia adalah satu usaha yang baik dalam mengurangkan pergantungan pekerja asing. Tetapi yang menjadi masalahnya ialah pekerja yang datang tanpa permit yang sah. Ataupun mereka yang datang sebagai pelancong tetapi kemudian bekerja secara tidak sah.

Maka ada pihak yang mungkin menyalahgunakan kemudahan yang disediakan untuk memasuki secara sah dan kemudian tinggal lebih lama untuk bekerja. Ini antara faktor tarikan bagi mereka masuk ke negara ini kerana bagi mereka negara ini dilihat sebagai lubuk untuk mencari rezeki kalau dibandingkan dengan negara asal mereka.

Namun dalam soal kebergantungan terhadap pekerja asing kita sudah semakin tidak bergantung kepada mereka. Jika satu ketika dahulu ramai ekspatriat berada di Malaysia seperti dari Jepun dan Korea. Namun jumlah mereka semakin berkurangan kerana peranan mereka diisi oleh pekerja tempatan. Rakyat tempatan ramai yang mampu menanggung kerja mereka dahulu seperti pengurus atau jurutera. Namun secara keseluruhannya kita tidak boleh bergantung kepada pekerja asing namun kita masih perlu memberi peluang kepada mereka dalam sektor-sektor tertentu seperti pertanian dan sebagainya. Dari segi jumlah pekerja yang terdapat di Malaysia terdapat 11 juta pekerja yang bekerja di sektor formal. Yang selebihnya sekitar enam juta adalah pekerja di sektor tidak formal seperti berniaga kecil-kecilan, berniaga nasi campur atau warung dan sebagainya. Hidup mereka ini ada yang mewah dan ada yang ala kadar sahaja.

Apa yang perlu dilakukan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing?

Perkara utama yang saya lihat adalah produktiviti pekerja di negara ini masih sangat rendah. Dari segi persijilan kemahirannya adalah sangat kurang. Kalau mereka masuk kerja hanya dengan kelulusan SPM dan itulah sijil yang mereka ada sehingga pencen nanti. Perlu ada pemantauan dari segi kemahiran pekerja dengan sijil yang mereka perolehi supaya tahap produktiviti mereka meningkat. Soal produktiviti ini adalah penting untuk diberi keutamaan.

Para pekerja perlu mempunyai kemahiran yang pelbagai supaya produktiviti boleh dipertingkat dan gaji juga boleh dibayar lebih lumayan. Seperti contoh, sebuah restoran mereka hanya mempunyai jumlah pekerja yang lebih kecil tetapi berupaya membuat pelbagai kerja dan mereka produktif maka gaji mereka pasti lebih lumayan berbanding restoran yang mempunyai pekerja yang ramai tetapi tidak produktif. Jika kita boleh mendapatkan pekerja yang mempunyai pelbagai kemahiran dan boleh membuat pelbagai kerja lain ia membantu menjadikan kita lebih produktif.

Inilah yang saya katakan sebagai peningkatan produktiviti. Kita perlu lebih kreatif dan inovatif dalam menjenamakan semula pekerjaan. Ini membantu meningkatkan kemahiran yang diperlukan dalam sesetengah pekerjaan supaya ia menarik minat masyarakat tempatan untuk bekerja dalam sektor tersebut. Kita tidak boleh bergantung kepada kerja yang hanya mempunyai satu kemahiran. Jika perkara ini tidak ditangani maka usaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di negara ini dalam menuju negara yang berpendapatan tinggi tidak akan terhasil. Maka adalah penting untuk melihat peningkatan tahap produktiviti pekerja di negara ini.

0 Kakitangan boleh berpolitik? Banyak yang berbakat. kaji dulu lah

Larangan kakitangan berpolitik perlu dikaji


2010/04/08
SHAH ALAM: Arahan yang melarang kakitangan awam terbabit dengan politik perlu dikaji semula jika ingin menarik kembali sokongan mereka terhadap kerajaan dan seterusnya Barisan Nasional (BN), kata Pakar Sejarah Datuk Prof Ramlah Adam.

Sehubungan itu, beliau berkata, sudah tiba masanya larangan berpolitik menerusi Perintah Am pekeliling kerajaan dikaji semula kerana arahan itu jelas memberi kesan kepada keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 sehingga menyebabkan BN kehilangan banyak negeri. "Kalau kita lihat bekas pemimpin negara seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak, mereka adalah penjawat awam yang berjaya membuktikan kepemimpinan yang terbaik dalam politik negara. Malah, zaman dulu juga tidak ada larangan kepada pegawai kerajaan untuk terbabit dalam politik. "Sekarang keadaan berubah apabila pegawai kerajaan tidak lagi dibenarkan terbabit dalam politik di bawah Perintah Am. Larangan ini dilihat satu sekatan kepada mereka untuk turut serta dalam aktiviti politik di negara ini," katanya ketika menyampaikan ucapan pada sesi bual bicara segmen Tokoh Bicara : Politik sempena Konvensyen BN Selangor 2010 di sini, semalam.

Ramlah berkata, larangan itu turut menyekat potensi seseorang pegawai kerajaan itu, sekali gus dilihat antara faktor mengapa BN kekurangan pemimpin pelapis berbanding pembangkang.

Sementara itu, bekas Naib Presiden MCA, Yap Pian Hon turut meminta pemimpin BN membuang sikap angkuh yang menjadi punca kekalahan BN di beberapa negeri pada PRU lalu, selain memupuk sikap toleransi dengan rakyat.

"Barisan kepemimpinan BN perlu merangka satu strategi agar rakyat faham terhadap perjuangan BN dan seterusnya mengembalikan kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap parti itu," katanya.
Pemangku Pengerusi Universiti AIMST, Prof Datuk Dr T Marimuthu, berkata BN perlu meneliti trend penurunan sokongan semua kaum di negara ini terhadap parti itu antara 1995 hingga 2008.

0 Dana Filem 1Malaysia. Namewee mahu, Sabah pun mahu. Sarawak pun mahu. Berilah 1 Negeri 1 Set

Rais layan jika Namewee mohon

Salhan K Ahmad
Mac 17, 10
10:59am


Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kesenian, Datuk Seri Rais Yatim hari ini meminta Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee supaya mengajukan permohonan rasmi kepada kementerian untuk mendapatkan dana bagi menghasilkan filem 1Malaysia.


"Kena tulis surat dulu, baru kita layan," kata Rais (kanan) apabila diminta mengulas niat Namewee untuk memohon dana berkenaan bagi menjayakan filemnya.

Namewee semalam dilaporkan berkata beliau telahpun menyiapkan skrip bagi filem berkenaan.

"Tak bolehlah cakap mulut saja. Dia kena tulis surat dulu," kata Rais lagi apabila diminta mengulas sekiranya ada syarat tertentu ditetapkan untuk Namewee.

Dana pembangunan kreatif diumumkan kerajaan Oktober lalu dalam bajet 2010.



Namewee yang pernah dilanda kontroversi melalui klip video 'Negarakuku', pada sidang medianya semalam berkata dia bercadang untuk memohon geran kerajaan bagi membiayai filemnya yang berkonsepkan '1Malaysia.'


Katanya, dia ingin menggunakan cara sendiri untuk menampilkan konsep 1Malaysia, dan yakin gayanya itu akan diterima dengan baik oleh generasi muda Malaysia.

Menurut Namewee (kiri), walaupun kebanyakan daripada kawan-kawan penerbit filemnya yang berbangsa Cina memberitahu bahawa dia tidak akan mendapat sokongan kewangan itu, namun dia mahu membuktikan tanggapan itu adalah tidak benar.

Katanya, mereka semua adalah rakyat 1Malaysia, dan tanpa mengira bangsa Melayu, India atau Cina, mereka termasuk dirinya berhak menerima sokongan daripada kerajaan.

Namewee juga berkata skrip filem 1Malaysia telah siap dan ini adalah filem pertama arahannya, yang dicadang ditayang pada tahun ini.

Tambahnya, beliau akan mengumumkan perkembangan permohonannya itu melalui video di laman Youtube.



Inilah artikel terdahulu:


Namewee mohon geran k'jaan keluar filem 1M'sia
Mac 16, 10 7:51pm

Artis Namewee yang pernah dilanda kontroversi melalui klip video 'Negarakuku' kini bercadang untuk memohon geran kerajaan bagi membiayai satu filem berkonsepkan '1Malaysia.'


Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee berkata beliau layak untuk mendapatkan geran berkenaan, yang diumumkan kerajaan melalui dana pembangunan industri kreatif berjumlah RM200 juta yang diumumkan dalam Bajet 2010.

"Saya ingin terlibat dalam kempen khas ini menggunakan cara sendiri untuk menampilkan konsep 1Malaysia, dan saya percaya gaya saya telah terbukti diterima dengan baik oleh generasi muda Malaysia.

"Saya berharap untuk dapat menyampaikan mesej 1Malaysia kepada mereka melalui filem saya," kata Namewee dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, beliau berhak mendapat bantuan berkenaan, seperti juga rakyat Malaysia lain yang rajin berusaha dan beliau juga telah menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan untuk membuat permohonan berkenaan.

"Kebanyakan daripada kawan-kawan penerbit filem (berbangsa) Cina memberitahu saya bahawa saya tidak akan mendapat sokongan kewangan itu.

"Tetapi saya mahu mereka mengetahui bahawa (kita) semua adalah rakyat 1Malaysia, dan tanpa mengira bangsa saya Melayu, India atau Cina, saya berhak menerima sokongan daripada kerajaan sama seperti mana-mana rakyat Malaysia rajin yang lain," katanya.

Menurutnya, beliau telahpun menyiapkan skrip filem 1Malaysia - filem pertama arahannya - yang dicadang ditayang pada tahun ini.

Tambahnya, beliau akan mengumumkan perkembangan permohonannya itu melalui video di laman Youtube.

"Saya mempunyai harapan yang tinggi terhadap kerajaan, jadi saya berharap mereka tidak akan mengecewakan saya," kata Namewee.