.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, March 31, 2010

0 Ke arah pendapatan rakyat sekali ganda

Oleh MOHD. RIDZWAN MD. IMAN dan MOHAMAD SHOFI MAT ISA
pengarang@utusan.com.my



Najib Tun Razak bersama timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Persidangan Invest Malaysia 2010 di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, semalam.
________________________________________

KUALA LUMPUR 30 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Model Ekonomi Baru (MEB) yang bertujuan melonjakkan ekonomi negara untuk menjadi negara maju menjelang 2020 dan seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat secara keseluruhan.
Perdana Menteri berkata, pelbagai strategi akan dilaksanakan melalui MEB yang antara lain melonjakkan kuantum pendapatan perkapita rakyat daripada AS$7,000 (RM23,000) kepada AS$15,000 (RM49,000) setahun dalam tempoh 10 tahun.
"MEB hendaklah dibina dari sini. Ia bukanlah suatu tugas yang mudah, tetapi ia menjanjikan pulangan lumayan jika kita mampu melakukan transformasi ini," katanya semasa berucap pada Persidangan Invest Malaysia 2010 di sini, hari ini.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, keutamaan MEB adalah untuk menangani masalah jurang pendapatan dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.
"Sehubungan itu, adalah perlu MEB memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan tahap pendapatan semua golongan yang kurang bernasib baik.
"Ia akan memberi fokus terhadap keperluan seluruh rakyat seperti mereka yang tinggal di rumah panjang di Sabah dan Sarawak, serta golongan miskin luar bandar di Semenanjung Malaysia yang seringkali tersisih daripada aktiviti ekonomi negara.
"Golongan nelayan, peniaga kecil dan petani juga tergolong dalam kategori ini. Begitu juga Orang Asli dan penduduk bandar berpendapatan rendah yang bekerja keras untuk menyara kehidupan dalam keadaan ekonomi yang sukar," katanya.
Sehubungan ini, katanya, laporan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) mencadangkan supaya fokus diberikan terhadap kumpulan 40 peratus strata pendapatan terendah di Malaysia - dari segi individu dan wilayah.
"Merekalah merupakan golongan yang kurang bernasib baik yang masih memerlukan perhatian khusus.
"Matlamat akhirnya, tiada rakyat Malaysia yang hidup dalam kemiskinan, semuanya mendapat peluang saksama untuk berjaya dan berkongsi kemakmuran negara," tambahnya.
Oleh itu, tegas Perdana Menteri, dasar afirmatif yang diperbaharui akan dilaksana berdasarkan empat prinsip yang mesra pasaran, merit, telus dan keperluan.
Najib berkata, sebagai contoh, kerajaan akan mewujudkan proses tender yang telus dengan peraturan jelas bagi golongan bumiputera Melayu dan pribumi lain.
Katanya, secara praktiknya, pendekatan itu bermakna sokongan kepada bumiputera akan dipertingkatkan dan dilakukan berdasarkan kepada keperluan, bukannya mengikut bangsa.
Mengenai usaha mewujudkan negara berpendapatan tinggi, beliau berkata, keadaan itu akan juga memberi kesan kepada upah pekerja yang lebih tinggi di dalam ekonomi.
Katanya, pertumbuhan itu bukan sahaja daripada segi modal, tetapi juga produktiviti yang tinggi melalui penggunaan kemahiran dan inovasi, koordinasi yang diperbaiki, penjenamaan yang kukuh dan mematuhi piawaian antarabangsa dan hak harta intelektual.
"Ekonomi yang berasaskan pengetahuan, pelaburan dalam teknologi baru, kemahiran yang pelbagai, inovasi dan kreativiti, serta peningkatan kecekapan adalah pemacu kepada prestasi sektor awam dan swasta," katanya.
Beliau menambah, pelaburan dan persaingan pasaran untuk mendapatkan bakat terbaik juga akhirnya akan mewujudkan suasana pembayaran upah yang tinggi.
Najib juga menegaskan, dalam memberikan rakyat kehidupan berkualiti, MEB mesti bertunjangkan kepada penjanaan pertumbuhan ekonomi mapan yang mengambil kira kesan ke atas persekitaran dan sumber asli.
"Tidak ada maknanya kita terlalu mengejar masa depan dengan kekayaan yang melimpah-ruah, sekiranya sumber alam dan nilai masyarakat terhakis yang bakal dihadapi oleh generasi akan datang," katanya.

0 comments: