.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, March 31, 2010

0 Arah tuju bisnes Malaysia selepas Tahun 2020

Ke manakah tujuan kita?


2010/03/31
MATLAMAT utama Model Ekonomi Baru (MEB) adalah menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi dengan ciri keterangkuman dan kebolehmampanan menjelang 2020.

Pencapaian satu-satu matlamat tidak seharusnya menjejaskan yang lain. Dalam usaha gigih mencapai matlamat itu, kita tidak boleh mengambil jalan pintas dengan berbelanja lebih menggunakan kekayaan sumber asli yang sememangnya tidak kekal. Kita juga tidak boleh menyerahkan sepenuhnya kepada kuasa pasaran dan mengabaikan keperluan memelihara keharmonian sosial. Selepas mencapai status negara maju, usaha perlu diteruskan untuk mengekalkan kedudukan itu meskipun selepas 2020.
Melonjak ke arah status berpendapatan tinggi

Pelaksanaan penuh dan mampan bagi pembaharuan yang disarankan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) akan mendorong transformasi Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

MPEN menjangka pembaharuan yang berani akan menambahgiat pelaburan, mendorong produktiviti buruh dan merangsang kecekapan, lalu menaikkan kadar pertumbuhan benar kepada purata 6.5 peratus setahun dalam tempoh 2011-2020.
Keluaran Negara Kasar (KNK) per kapita akan meningkat kepada kira-kira AS$17,700 menjelang 2020.

Senario ini mengandaikan tidak berlakunya satu lagi krisis ekonomi besar pada peringkat global yang boleh menggelincirkan ekonomi Malaysia keluar daripada landasan pertumbuhan ini.

Jika sasaran pertumbuhan KDNK hendak dicapai, maka permintaan agregat juga perlu tumbuh pada kadar yang bertenaga.

Pelaburan akan menjadi pendorong utama pertumbuhan ekonomi melepasi 2020. Sumbangan daripada pelaburan swasta mesti kembali ke paras bermakna seperti yang dicapai pada 1997, iaitu mencecah hampir satu per lima daripada KDNK menjelang 2020 berbanding kira-kira satu per sepuluh pada 2010.

Pertumbuhan mampan juga akan disokong hemat fiskal. MEB mahukan defisit fiskal dikurangkan lagi ke paras hampir seimbang menjelang 2020.

Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan, iaitu kira-kira 7.4 peratus daripada KDNK, mencecah paras puncak pada 2009 dan dijangka menurun kepada 5.6 peratus daripada KDNK pada 2010.
Sentimen pasaran akan bertambah baik lagi jika defisit fiskal ini dikurangkan lagi.

Menjanakan manfaat untuk semua rakyat

Keterangkuman adalah matlamat kedua dan adalah komponen utama MEB. Ini menjadi prasyarat untuk memupuk perasaan kekitaan.

Pertumbuhan yang menyokong golongan miskin akan memastikan tiada kumpulan yang akan dipinggirkan dan keperluan asas rakyat akan dipenuhi.

Keluarga akan diberi peluang dan keupayaan memburu impian mereka di bandar, pekan dan kampung yang moden, canggih dan mudah hubung.

Mereka akan tinggal, bekerja dan belajar di tempat yang bebas daripada berasa bimbang terhadap jenayah, penghinaan diskriminasi dan kekurangan keperluan.

Keterangkuman akan membolehkan semua komuniti menyumbang dan berkongsi kekayaan negara.

Walaupun kesaksamaan sempurna itu mustahil dicapai, namun masyarakat yang terangkum akan memastikan masalah ketidaksamaan ini tidak akan menjadi lebih buruk.

Masyarakat yang berpecah dari segi etnik lebih cenderung mencetuskan konflik ganas.

Komposisi penduduk Malaysia yang berbilang bangsa masih satu ciri unggulnya dan kepelbagaian etnik ini akan kekal bersama kita.

Namun, tumpuan berlebihan pada pengagihan sumber berasaskan etnik akan menimbulkan jurang keterpisahan dan pertelingkahan yang semakin buruk.

Cabaran utama pertumbuhan terangkum ialah pembentukan langkah berkesan yang mencapai keseimbangan antara kedudukan istimewa Bumiputera dengan kepentingan sah kumpulan yang lain.

Justeru, program tindakan afirmatif mesra pasaran yang seiring dengan prinsip keterangkuman akan:


Menyasarkan bantuan kepada isi rumah dalam kumpulan 40 peratus terendah yang 77.2 peratus ialah Bumiputera dan ramai yang berada di Sabah dan Sarawak.


Memastikan peluang yang saksama dan adil melalui proses yang telus.


Menyediakan akses kepada sumber berasaskan keperluan dan merit bagi menambahbaik keupayaan, pendapatan dan kesejahteraan.


Mempunyai rangka kerja institusi mantap demi pemantauan lebih baik dan pelaksanaan yang berkesan.

Program tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran adalah bertumpu pada pembinaan keupayaan dan kemampuan isi rumah berpendapatan rendah dan perniagaan kecil, bukannya memenuhi syarat dalam mencapai kuota atau sasaran tertentu.

Program Transformasi Ekonomi (PTE) akan mewujudkan mekanisme untuk mengukuhkan keupayaan isi rumah dalam kumpulan 40 peratus terendah supaya mereka dapat mengambil kesempatan daripada peluang yang ada untuk mendapatkan pekerjaan lebih baik, meningkatkan produktiviti dan menambah pendapatan.

Kumpulan ini akan dibantu dengan program membina kemahiran supaya dapat menggunakan naluri keusahawanan bagi memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Ini akan menambahbaikkan taraf, peluang dan prospek kehidupan mereka.

Amalan dulu yang membiakkan aktiviti merentir (rent-seeking) dan kuasa naungan (patronage) yang tidak sihat serta menular akan dihentikan.

Penyelesaian yang mampu bertahan lama dari segi ekonomi dan alam sekitar

Komponen kebolehmapanan dalam MEB bertujuan memastikan semua langkah saranan yang diutarakan di bawah model baru itu mestilah mapan dari segi ekonomi dan alam sekitar.

Kebergantungan Malaysia pada penggunaan sumber asli sebagai jentera utama pertumbuhan ternyata tidak mampan dalam kedua-dua aspek berkenaan.

Ini tidak bermaksud mencadangkan penggunaan sumber asli tidak harus menjadi komponen utama pengeluaran negara.

Namun, ini bererti di bawah model baru, keputusan pelaburan dan dasar hanya akan dibuat selepas menimbangkan semua impak jangka panjang terhadap masyarakat, ekonomi dan alam sekitar.

Kebolehmampanan ekonomi akan dipastikan menerusi pembentukan disiplin fiskal yang diperlukan bagi melindungi keseimbangan makroekonomi dan kestabilan kewangan.

Pembaharuan sektor awam adalah komponen penting bagi kebolehmampanan fiskal jangka panjang dan menjadi komponen utama MEB.

Pembaharuan perkhidmatan awam yang berterusan, termasuk peningkatan kemahiran dan latihan semula kakitangan akan menjadi kunci kepada peningkatan kecekapan perkhidmatan awam dan menjadikannya lebih fokus pelanggan.

Kebolehmampanan alam sekitar akan dicapai dengan menolak pendekatan tradisional terhadap pertumbuhan ekonomi yang terlampau mengabaikan alam sekitar.

Sungguhpun sudah wujud sedikit keprihatinan mengenai alam sekitar, namun dasar lalu bertumpu kepada isu penyampaian pertumbuhan yang kemudian diikuti oleh langkah menangani isu alam sekitar.

Pada masa depan, penekanan sama mesti diberikan kepada soal perlindungan alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi.

Pengukuran KDNK konvensional bagi pertumbuhan ekonomi tidak mengambil kira kos terhadap masyarakat yang timbul akibat kemerosotan alam sekitar.

Perkembangan terbaru konsep ‘KDNK Hijau’ akan memungkinkan pertimbangan wajar diberikan mengenai impak pertumbuhan terhadap alam sekitar dan pembentukan langkah sesuai bagi menangani masalah alam sekitar.

MEB berusaha mewujudkan pertumbuhan mampan yang memenuhi keperluan berterusan penduduk tanpa menjejaskan generasi akan datang menerusi pengawasan dan pemuliharaan berkesan alam semula jadi dan sumber mudah lupus.

Pendekatan baru ini sangat relevan dengan pengurusan air serta sumber minyak dan gas.

Penerima manfaat mutlak: Rakyat dan perniagaan

MPEN menjangkakan suatu siri manfaat yang akan sampai kepada semua rakyat jika langkah dasar MEB dilaksanakan dengan konsisten dan sepenuhnya. Bagaimanapun, kita mesti menyedari penyampaian pelbagai manfaat ini memerlukan masa.

Sementara itu, beberapa segmen penduduk mungkin melihat impak negatif lebih daripada manfaat ataupun mereka mendapat manfaat yang kurang berbanding orang lain.

Kerajaan mesti berupaya menyampaikan kesaksamaan hakiki manfaat ini pada kemudian hari, menggesa komitmen diberikan kepada proses dan mewujudkan visi kebaikan bersama jangka panjang.

Disebabkan keperluan terhadap ketepatan masa dan urutan tindakan dasar yang betul, PTE akan menyediakan jaring keselamatan lebih baik dan dana transformasi untuk melindungi pelbagai komuniti ketika tempoh peralihan sebelum manfaat direalisasikan sepenuhnya.

Orang ramai perlu lebih memahami penyelarasan dan perubahan secara teratur diperlukan jika mahu melihat matlamat MEB tercapai.

Manfaat bagi perniagaan akan diperoleh daripada kesaksamaan alam sekitar lebih baik, ekosistem lebih berkesan dan pasaran lebih cekap bagi memudahkan pelaburan dan operasi.

Ciri Teras MEB

Bagaimanakah keadaan Malaysia pada 2020? Pada masa depan, MEB akan melahirkan Malaysia yang terkenal dengan transformasi kukuh, hasil kepintaran rakyatnya yang ditunjukkan kepelbagaiannya yang harmoni dan tradisi budayanya yang kaya.

Ekonominya kelak adalah berpandukan pasaran, ditadbir urus dengan rapi, berintegrasi serantau, berorientasikan keusahawanan dan inovatif.
Sektor swasta akan menjadi penggerak utama pertumbuhan dalam pelaburan berpandukan pasaran dan pengeluaran semakin dikuasai oleh barangan dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah yang tinggi dalam persekitaran yang bersaingan.

Kerajaan akan menjadi fasilitator yang cekap menerusi rangka kerja kawal selia yang rapi, seimbang, fokus pasaran dan membantu pasaran.

Kerajaan akan terus berperanan menangani gangguan daripada kegagalan pasaran yang tidak dapat dielakkan.

Institusi kerajaan dengan tadbir urus rapi dan lebih cekap dipertanggungjawabkan terhadap hasil berasaskan pencapaian selaras dengan PTK dan memiliki kakitangan berkelayakan tinggi dengan keupayaan melaksanakan pelbagai tugas dan pada masa sama, mempamerkan fleksibiliti serta dinamisme.

Firma swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat sivil akan menaruh hasrat untuk mencapai standard tadbir urus yang diterima pakai pada peringkat antarabangsa.

MEB akan menyediakan rangka kerja dan persekitaran untuk melahirkan semangat keusahawanan bagi memanfaatkan sebaik-baiknya peluang pertumbuhan daripada pembiayaan yang tersedia.

Inovasi dan teknologi terkini akan menjanakan produk, perkhidmatan dan proses kreatif yang memiliki nilai tambah yang tinggi dalam arena teknikal, sosial dan institusi.

Semua ini akan menyumbang kepada perluasan pasaran melalui integrasi serantau dalam perdagangan dan perkhidmatan serta melalui pembentukan rantaian penawaran dan rangkaian pengeluaran rentas sempadan.

0 comments: